Perlis berusaha ke arah hab pendidikan terkemuka

- Advertisement -

KANGAR: Perlis berusaha untuk muncul sebagai hab pendidikan terkemuka di rantau ini selaras dengan motto ‘Perlis Negeri Ilmu’.

Usaha itu bermula dengan penubuhan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) pada 17 Jun 2013 dan beroperasi secara rasminya di Blok S1, Kompleks Desa Siswa, Sg Chuchuh pada 3 Mac 2014.

Rektor KUIPs, Prof Dato’ Kaya Bakti Dr Mohd Radzi Othman berkata, KUIPs pada peringkat awal beroperasi sementara di Kompleks Islam Perlis.

- Advertisement -

Katanya KUIPs komited menjadi salah sebuah institusi pengajian tinggi berteraskan Islam yang unggul di rantau Asia.

“Institusi pendidikan Islam itu menjadi institusi pilihan pelajar-pelajar Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina dan Asia Barat.

“Alhamdulillah sehingga Februari 2020 jumlah pelajar aktif di KUIPs meningkat kepada 963 orang. Mereka belajar di Fakulti Al-Quran & As-Sunnah, Fakulti Muamalat & Kewangan Islam, Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Perniagaan & Sains Pengurusan.

“KUIPs juga bakal menjalinkan hubungan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) khususnya dalam bidang pendidikan melalui Darul Quran,” katanya selepas sesi lawatan kerja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato’ Dr Zulkifli Mohd Al Bakri kelmarin.

Menurutnya juga kerjasama denan JAKIM melibatkan bidang akademik, pertukaran pelajar sebagai tujuan menjadikan Darul Quran sebagai sebuah institusi rujukan terutamanya Fakulti Al Quran dan Sunnah.

Dr Mohd Radzi juga berkata, kewujudan KUIPs turut menjadi pemangkin pembangunan ekonomi dan meningkatkan komuniti sosial. – HARAKAHDAILY 1/4/2021

- Advertisement -