Pengukuhan PN hanya proses biasa

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pengukuhan Perikatan Nasional (PN) antara PAS dan Bersatu hanyalah proses biasa dan bukannya ‘peringatan’ kepada Umno mahu pun mana-mana parti.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kenyataan pengukuhan yang ditandatangani setiausaha agung kedua parti itu susulan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 baru-baru ini.

Presiden Umno merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid ketika berucap pada PAU 2020 berkata, Barisan Nasional (BN) memutuskan bertanding bersendirian dan menggunakan lambang dacing dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

- Advertisement -

“Keputusan itu serah kepada Umno. Walau bagaimanapun ia akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti itu. Setakat ini selepas PAU 2020, MT Umno belum lagi bermesyuarat,” kata Sanusi.

Beliau berkata, walaupun Umno melalui jajaran baru itu menegaskan tanpa DAP dan Anwar namun parti itu tidak memaklumkan bersama parti mana selepas PRU nanti.

Namun katanya lagi, PAS tetap kukuh sebagai agen penyatuan ummah dan bersedia bersama-sama mempertahankan matlamat itu sama ada di dalam PN atau Muafakat Nasional (MN).

“Semua pihak wajar duduk bersama di dalam penyatuan ummah. Kenapa nak tolak setengah ambil setengah?

“Alasan penyatuan ummah bukan untuk selamatkan sesiapa, memulihkan nama atau imej sesiapa atau menyelamatkan kuasa politik mana-mana parti tetapi usaha sama menyelamatkan politik Islam,” kata beliau ketika sidang media selepas merasmikan Ulang Tahun RTM ke-75 di Auditorium RTM di sini, hari ini.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menegaskan, kuasa politik orang Islam menjadi teras negara selain bersama kaum lain yang tidak ekstrem demi faedah rakyat bukannya kepentingan parti atau individu tertentu.

“Ini teras kita. Marilah berjalan di atas teras ini. Tak perlu ‘kilaih’ (pusing) stereng sana sini. Boleh jalan terus melalui jalan istiqamah menuju jalan yang diredhai Allah,” sambung beliau lagi.

Semalam, PAS dan Bersatu telah mengeluarkan kenyataan bersama mengukuhkan PN khususnya untuk menghadapi PRU15 dan bertegas menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu’ untuk menubuhkan kerajaan pasca PRU15, terutama yang melibatkan PH dan sekutunya.

Kedua-dua parti itu juga sentiasa komited untuk memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk, bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendukung konsep tersebut. – HARAKAHDAILY 1/4/2021

- Advertisement -