PAS terus agenda perkukuh perpaduan ummah

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS tetap mengusahakan perpaduan bagi meneruskan agenda memperkukuh perpaduan ummah yang menjadi asas kerjasama parti itu demi kebaikan negara.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, Kelantan tetap bersama pendirian PAS pusat mahu memperkukuh kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

Katanya, pendirian ditetapkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenai perkara itu sudah jelas.

“Kita tetap mengusahakan jalan damai, sebab perpaduan sangat penting untuk kebaikan ummah. Perpaduan, kerjasama, toleransi penting ketika kita sedang menghadapi pandemik Covid-19.

- Advertisement -

“Kita beri keutamaan menyelesaikan masalah Covid-19. Kita menyeru rakyat supaya daftar program vaksinasi Covid-19 bagi membolehkan kita bina semula ekonomi dan sebagainya,” katanya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasamikan sambutan ulangtahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke-75, di perkarangan dewan serbaguna Jabatan Penyiaran Kelantan, di sini hari ini.

Turut hadir anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Pengarah RTM Kelantan, Wan Azhan Wan Hamat dan pegawai kanan RTM.

Persidangan Agung Umno baru-baru ini memberi mandat kepada Majlis Tertinggi untuk menentukan tempoh parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini Umno memutuskan tidak bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan akan bergerak secara bersendirian.

PAS dan Bersatu pula menolak sebarang penjajaran baharu bagi menubuh kerajaan pasca PRU15 melibatkan Pakatan Harapan dan sekutunya. – HARAKAHDAILY 1/4/2021

- Advertisement -