Nasib pemandu ‘kais pagi, makan pagi’ diberi perhatian

- Advertisement -

KELMARIN, saya ada muat naik video mengenai keluhan seorang pemandu lori. [1] Semalam, saya dapat berjumpa dengan lelaki di dalam klip video ini yang bernama Arumugam A/L Supermaniam di Pejabat Menteri Pengangkutan dan mendengar sendiri rintihan beliau. Terima kasih Bala Gopal, seorang sukarelawan yang menemani Arumugam ke pejabat saya.

Dalam pertemuan semalam, En. Arumugam yang berasal dari Ipoh ini menyatakan beliau memiliki banyak saman kerana membawa lori lebih muatan yang bukan atas kehendaknya tetapi atas permintaan majikan atau syarikat pengangkutan.

Saya terkilan apabila mendapati banyak saman dikeluarkan oleh JPJ dan polis kerana beliau ‘tidak mempunyai lesen memandu kompeten (CDL), lesen memandu kenderaan barangan (GDL) dan lesen vokasional’. Saya berasa pelik. Mana mungkin En. Arumugam tidak mempunyai lesen memandu? Namun akhirnya terjawab!

- Advertisement -

Walaupun sebagai pemandu lori, semua saman berkaitan lebih muatan terpaksa ditanggung sendiri oleh En. Arumugam, bukannya syarikat tempat beliau bekerja. Oleh kerana terlalu kerap menerima saman berkaitan membawa lebih muatan, En. Arumugam telah disenarai hitam oleh JPJ daripada memperbaharui lesennya. Sebab itulah, sejak tahun 2017 beliau tidak dapat memperbaharui lesen memandu CDL dan GDL.

Namun, beliau tetap juga meneruskan kerja dan dikenakan saman lagi – bawa lori lebih muatan dan tiada lesen kerana mahu menyara hidup sekeluarga. Katanya, beliau tiada pilihan untuk membawa lori yang mengangkut muatan mengikut peraturan sebagaimana ditetapkan. Jika enggan membawa lori tersebut, majikannya akan menggunakan khidmat pemandu lain.

Demi mencari sesuap nasi menyara 4 anaknya berusia 9-18 tahun yang masih bersekolah, En. Arumugam yang telah kehilangan isteri kerana meninggal dunia akibat daripada penyakit kanser pada tahun 2016 ini terpaksa melanggar peraturan JPJ – tidak memiliki lesen sah dan membawa lori lebih muatan.

Setelah lebih sejam perbualan sambil makan tengahari bersamanya dan meneliti permasalahan yang dihadapi En. Arumugam, saya mengambil keputusan untuk membantunya berkaitan dengan saman yang dikeluarkan oleh JPJ. Turut bersama dalam pertemuan ini ialah Ketua Pengarah APAD, En. Azlan Al Bakry dan pegawai JPJ, En. Ong See Tang.

Untuk langkah ke hadapan, saya terus minta JPJ dan APAD mengkaji semula tindakan saman terhadap pemandu yang membawa lebih muatan dan bukannya majikan yang dipersalahkan. Tindakan seumpama ini membawa kesan buruk kepada pemandu lori apabila saman tidak dapat dijelaskan oleh pemandu (bukan majikannya) dan disenaraihitamkan oleh JPJ.

Ini yang menyebabkan penindasan majikan atau syarikat terhadap para pemandu lori yang ‘kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang’ seperti En. Arumugam, seorang duda yang menyara hidup 4 orang anak dan bapa mertuanya yang kini diserang stroke.

Malah, sebelum ini En. Arumugam terpaksa meminjam RM5000 daripada ceti haram semata-mata mahu menjelaskan kompaun atau saman demi meneruskan hidup. Sudah tentu ini sesuatu yang amat menyedihkan. Sedangkan peranan pemandu lori ini amatlah besar serta penting kepada industri pengangkutan dan negara.

Saya juga meminta Bahagian Penguatkuasa JPJ untuk menyiasat dakwaan En. Arumugam mengenai pemandu rakyat asing dari Pakistan dan Bangladesh yang beroperasi di sebuah depoh atau pusat pengagihan barangan di Sepang. 

Untuk rekod, warganegara asing boleh memiliki lesen memandu tetapi tidak dibenarkan memiliki lesen PSV dan GDL, maka mereka ini sudah pasti memandu kenderaan barangan atau perkhidmatan awam tanpa lesen GDL atau PSV (rujuk kepada jawapan di Dewan Rakyat seperti yang dilampirkan).

En. Arumugam datang ke pejabat saya menceritakan kisahnya dengan linangan air mata, beliau pulang dengan senyuman lebar apabila saya menyerahkan lesen memandunya yang telah diperbaharui untuk tempoh 5 tahun.

DATUK SERI IR. DR. WEE KA SIONG
Menteri Pengangkutan Malaysia – HARAKAHDAILY 1/4/2021

[1] https://fb.watch/4zV325cYVx/

- Advertisement -