Umno kekal bersama GRS keputusan utamakan rakyat

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Keputusan Umno Sabah untuk terus kekal bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah suatu keputusan yang mengutamakan rakyat, kata Setiausaha PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik Sabah itu berkata justeru tindakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang teguh mengemudi Umno Sabah ke arah kerjasama itu perlu dicontohi semua ahli politik yang mahu memberikan khidmat terbaik untuk rakyat.

“Kejujuran dan keberanian sebegini harusnya dipuji dan dicontohi, ini contoh ahli politik berjiwa besar. Rakyat tetap diutamakan walaupun berhadapan keadaan sukar khususnya berkaitan parti sendiri, jelas beliau ahli politik matang dan berfikiran jauh meletakkan negeri dan rakyat sebagai tunjang perjuangan.

- Advertisement -

“Dalam konteks Sabah, PAS akan terus bekerjasama ke arah penyatuan dan perpaduan. Prinsip bersatu teguh bercerai roboh akan terus kami jadikan falsafah penyatuan dan perpaduan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Bung Moktar menegaskan pendirian bahawa Umno Sabah tidak akan terikut-ikut dengan rentak pergolakan politik di Semenanjung, sebaliknya mengutamakan kepentingan rakyat yang dahagakan pembangunan serta akan meneruskan kerjasama GRS demi kebaikan rakyat Sabah.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran perkembangan senario politik negara yang menyaksikan Umno berhasrat bergerak solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

GRS terdiri daripada parti komponen Perikatan Nasional (BERSATU, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan PAS); Barisan Nasional (Umno, Parti Bersatu Rakyat Sabah, MCA, MIC) dan Parti Bersatu Sabah (PBS). – BERNAMA

- Advertisement -