Semua menteri Umno terus berada dalam Kabinet

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesepakatan telah dicapai bahawa semua menteri daripada Umno akan terus berada di dalam Kabinet, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menyatakan bahawa menteri-menteri daripada Umno telah menemui beliau pada Isnin lalu.

Menurutnya, mereka meminta nasihat beliau mengenai kedudukan mereka di dalam Kabinet berikutan keputusan Perhimpunan Agung Umno bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya telah menasihati mereka supaya terus kekal berada di dalam kabient. Ini mengambil kira kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata, pada masa ini tumpuan utama kerajaan adalah untuk memerangi Covid-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi negara.

Tambahnya, beberapa orang menteri daripada Umno memegang portfolio-portfolio penting yang berkaitan dengan fokus utama kerajaan pada masa kini.

Justeru, ujarnya beliau tidak mahu peletakan jawatan mereka daripada Kabinet menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua menteri Umno akan terus berada di dalam Kabinet.

“Dengan kesepakatan ini, saya memberi jaminan bahawa Kabinet akan berfungsi sperti biasa dan segala inisiatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang,” jelas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 31/3/2021

- Advertisement -