PAS dan kebajikan rakyat

- Advertisement -

SAYA antara orang yang agak kecewa apabila dua Exco PAS ditukar portfolio setelah pelantikan MB baru Perak. Saya luahkan dalam tulisan hingga dijadikan bahan serangan oleh musuh PAS. Dicanang itu pendirian PAS. Itulah bukti kebodohan akibat kebencian. Saya tahu ada perjanjian bertulis antara pimpinan utama ketiga parti di peringkat pusat mengenai persetujuan ini. 

Apabila saya luahkan perkara ini, YB Razman yang juga Pesuruhjaya PAS menenangkan saya ‘mungkin Allah mahu kita bergelumang dengan golongan marhaen yang perlukan pembelaan’ saya terdiam dan cuba memahami hikmah Ilahi. Beliau sebelum itu Exco Pendidikan, Sumber Manusia dan NGO bertukar ke Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan. Manakala YB Akmal dari Exco Agama dan Penerangan kepada Kesihatan dan Alam Sekitar Teknologi Hijau.

Memang sepanjang tempoh hampir setahun YB Razman atau Pak Teh memimpin Pendidikan beliau memberikan perhatian kepada golongan B40. Harapan beliau agar golongan ini mampu keluar dari garis kemiskinan melalui pendidikan. Anak-anak cemerlang dari golongan ini dibantu agar mereka mampu meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Saya masih ingat ketika menguruskan seorang pelajar cemerlang SPM yang ditawarkan ke UM. Isu itu diangkat hingga mesyuarat kerajaan negeri. 

- Advertisement -

Sebagai Pengerusi Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan tentulah sebahagian besar dari tanggungjawab beliau ialah meningkatkan taraf hidup mereka serta membantu kesukaran mereka dalam industri tersebut.

Sebagai bukti kesungguhan, beliau telah menubuhkan 15 kluster bagi memberi tumpuan khusus. Kluster ini adalah kalangan sukarelawan berkemahiran yang terlibat lama sebagai pemain berjaya dalam kluster masing-masing. Siang malam bermesyuarat dan menjelajah negeri. Seorang pimpinan yang dikenali sangat pantas dan prihatin terhadap kebajikan, beliau akan singgah di mana ada isu dan masalah malah berziarah golongan yang ditimpa musibah.

Antara perhatian yang diberi tumpuan ialah isu penempatan semula nelayan di Pulau Pangkor. Projek Kerajaan Pusat yang tertangguh angkara birokrasi dan beberapa isu campur tangan telah menyebabkan penempatan tertangguh kerana pertindihan senarai penerima. Beliau turun ke Pulau Pangkor serta berbincang dengan pelbagai pihak dan akhirnya diselesaikan tak sampai dua bulan.

Menyedari antara isu yang dihadapi oleh petani, nelayan dan penternak ialah maklumat bantuan kerajaan yang tidak sampai dan sampai ke bukan sasaran, maka roadshow penjelasan tawaran bantuan kerajaan disusun seluruh negeri. Buku penerangan diusahakan agar sampai ke akar umbi golongan yang benar-benar berada dalam bidang tersebut. 

Isnin lepas saya mengikuti rombongan beliau mendengar rintihan pekebun kecil Melayu yang telah mengusahakan kebun durian lebih 30 tahun.. Ada yang menanam sawit di kawasan Ulu Piah yang kini diletakkan di bawah pengawasan SADC. Isu ini berlarutan begitu lama tanpa penyelesaian. Beliau berjanji dan telah mengarahkan pegawai SADC yang bersama mengikuti rombongan membantu menyelesaikan. Beliau juga akan membawa isu rakyat yang dilihat kecil ini dalam mesyuarat kerajaan negeri. Istilahnya… Tiada isu rakyat miskin yang dilihat kecil.

Dalam kesibukan dan kepadatan jadual YB Pakteh sempat menziarahi en Rosli Ahmad seorang Pegawai Pertanian Titi Gantung yang diuji dengan kanser usus. Walaupun hampir Maghrib dan beliau berpuasa namun kesempatan terluang tidak dilepaskan apabila saya maklumkan mengenai musibah tersebut.

Sebagai wakil rakyat Semanggol, beliau juga telah membeli sebidang tanah hampir tiga ekar bagi membantu rakyat di DUN Semanggol. Tanah tersebut diserahkan untuk membina rumah bagi golongan miskin yang tidak memiliki rumah.

Beliau mahu PAS dilihat sebagai parti yang membela golongan susah dan tertindas. Memang sifat perjuangan Islam ialah membela golongan teraniaya dan kurang berkemampuan. Sebagai Pesuruhjaya PAS yang dilantik sebagai Exco, beliau jadikan contoh perjuangan PAS kepada rakyat khasnya di Negeri Perak. Contoh ini juga diterjemahkan oleh YB Akmal Kamarudin Exco Kesihatan dan Alam Sekitar mewakili Selama dan YB Khalil Yahya Timbalan Speaker mewakili Kubu Gajah.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 31/3/2021

- Advertisement -