Kunjungan ziarah ke Pondok Gajah Mati

- Advertisement -

TENGAHARI semalam, saya ke Pondok Gajah Mati untuk bertemu Tuan Guru Haji Wan ‘Izzuddin bin Sheikh Haji Wan Ibrahim atau lebih mesra dengan panggilan Pak Njang ‘Izzuddin. Saya amat terharu dengan sambutan meriah warga pondok dan penduduk kampung setempat. Turut hadir, Tuan Guru Haji Suhaimin yang merupakan antara ulamak di Kedah yang masih aktif mengajar ilmu akidah.

Tuan Guru mempelawa saya menjengah sebentar ke pondok bersejarah pernah diduduki almarhum Syeikh Abdul Qadir al-Mandili. Terasa barakah pondok usang ini. Pada tahun 1926, Syeikh Abdul Qadir al-Mandili memasuki Pondok Gajah Mati yang pada ketika itu dipimpin oleh Syeikh Wan Ibrahim Abdul Qadir (ayah Pak Njang ‘Izzuddin) yang lebih terkenal dengan panggilan Pak Chu Him oleh masyarakat setempat. Beliau menadah kitab kepada Pak Chu Him selama 10 tahun.

Program dimulakan dengan Majlis Pengijazahan Hadis Musalsal bil Awwaliyyah daripada Tuan Guru kepada saya. Atas permintaan Tuan Guru dan juga hadirin, saya mengijazahkan seluruh musalsalat, marwiyyat, kitab-kitab yang dipelajari bersama para masyaikh di Syria suatu ketika dahulu, juga lebih 300 buah buku-buku saya, dengan ijazah ‘ammah. Dengar harapan dan doa agar semua yang menerima ijazah ini dapat beriltizam dengan ketakwaan kepada Allah.

- Advertisement -

Tradisi pengijazahan Hadis adalah amalan para ulamak sejak zaman silam. Moga dengan majlis tersebut, ada barakah daripada-Nya kepada semua yang hadir. Tuan Guru turut mempelawa saya menyampaikan sedikit tazkirah di surau selepas solat Zohor. Saya kongsikan mengenai kepentingan pengajian secara talaqqi dan kisah kehebatan Syeikh Muhammad ‘Awwamah dalam ilmu Hadis. 

Saya berbesar hati menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Pondok Gajah Mati melalui Tabung Musa’adah COVID-19 JAKIM-YWM. Moga sumbangan ini dapat menggembirakan Tuan Guru dan warga pondok.

Selagi saya masih ada, saya akan usahakan khidmat yang terbaik untuk para ulamak pondok. Tahun lalu, Kerajaan Pusat telah memperuntukkan RM100 juta kepada pondok, sekolah agama rakyat dan sekolah tahfiz yang berdaftar di seluruh Malaysia. Mereka adalah permata dalam tradisi ilmu tradisional Islam yang perlu dijaga demi kelangsungan untuk mempertahankan Ahli Sunnah wal Jama’ah.

Bagi yang ingin menyumbang ke Tabung Musa’adah COVID-19 JAKIM-YWM, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Yayasan Waqaf Malaysia – 8602218186 (CIMB Islamic Bank).

YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 31/3/2021

- Advertisement -