Kelantan bantu usahawan dapat sijil halal Jakim

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan akan mewujudkan sebuah entiti bagi membantu dan memudahcara usahawan untuk mendapatkan status pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Timbalan Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, Saiful Adli Abu Bakar berkata kerajaan negeri secara dasar setuju Majlis Pembangunan Usahawan Kelantan dinaik taraf.

Katanya kemungkinan usaha ke arah mewujudkan perbadanan atau pun entiti seumpamanya bagi membantu usahawan-usahawan di Kelantan.

- Advertisement -

“Dengan usaha (penubuhan entiti) tersebut kita yakin dapat membantu ramai usahawan untuk menerima pelbagai manfaat termasuk mendapat pensijilan halal, perniagaan atas talian dan memperkasakan perusahaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis makan malam dan diskusi bersama seramai 30 usahawan yang bernaung di bawah Dewan Usahawan Kelantan (Duke) di sini kelmarin.

Turut hadir Penasihat Duke Zulkifli Mamat dan Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Shahir Adnan, Timbalan Pengarah Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri Nazman Che Ibrahim dan Presiden Duke Ustaz Mohd Zaki Zakaria.

Saiful Adli yang juga Adun Salor berkata, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan menyediakan kertas cadangan tersebut sebelum dibawa ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, penubuhan entiti tersebut diharap dapat memperkembangkan lagi bidang keusahawanan dalam pelbagai sektor di Kelantan.

Pada 9 November tahun lalu, kerajaan negeri mengumumkan penubuhan Majlis Pembangunan Usahawan Kelantan dengan peruntukkan permulaan sebanyak RM1 juta bagi merancakkan bidang keusahawanan.

Majlis Pembangunan Usahawan Kelantan mendapat kerjasama dan sokongan Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan serta Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar.

Selain itu Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO serta Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita. – HARAKAHDAILY 31/3/2021

- Advertisement -