Kedah tetap harap bayaran walau isu air dibawa ke Pusat

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah tetap mengharapkan caj bekalan air mentah dikenakan terhadap Pulau Pinang, walaupun isu itu dibawa ke peringkat pusat.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata setiap projek pembangunan yang dirancang khususnya di kawasan Sungai Muda juga akan tetap diteruskan demi kepentingan rakyat negeri ini.

“Atas apa alasan sekalipun, projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), baraj untuk menstabilkan paras air untuk pertanian dan bekalan minuman rakyat Kedah (akan diteruskan), itu yang menjadi keutamaan.

“Kalau kerajaan pusat campur tangan, saya harap ia ke arah Pulau Pinang bayar harga air mentah kepada Kedah,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usaha sama antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Open Road Asia Sdn Bhd di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

- Advertisement -

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow Sabtu lepas, yang menyarankan agar Kerajaan Persekutuan campur tangan bagi mengatasi kemelut berkaitan caj bekalan air yang berlaku antara negeri itu dan Kedah.

Muhammad Sanusi berkata kepentingan dan keperluan bekalan air mentah untuk Pulau Pinang dari sumber Sungai Muda hanya akan diambil kira setelah negeri itu bersedia untuk membayar tuntutan daripada Kerajaan Kedah.

Pada 24 Mac lepas, Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan akan melaksanakan projek TAPS, untuk menakung lebihan air di Sungai Muda bagi menstabilkan paras air di sungai itu pada musim kemarau, sekali gus meningkatkan bekalan air di negeri ini.

Muhammad Sanusi ketika mengumumkan projek itu berkata Pulau Pinang perlu bersedia kerana setelah pembinaan TAPS siap, ia mungkin akan memberi kesan kepada bekalan air ke Pulau Pinang, jika kerajaan negeri itu masih enggan membayar caj air mentah. – BERNAMA

- Advertisement -