Islam satukan ummah atas asas akidah

Gambar hiasan
- Advertisement -

ISLAM menyatukan semua kaum muslimin dengan sebab akidah syariat dan akhlak. Kaum muslimin yang terdiri daripada berbagai kabilah, generasi dan bangsa-bangsa diciptakan Allah, ada lelaki dan perempuan supaya saling berkenalan.

Sebahagian mereka diharapkan tidak merasa lebih tinggi daripada yang lain. Mereka diharapkan juga boleh menjunjung tinggi nilai-nilai kemuliaan dan saling menghargai.

Semua itu hanya dapat dilakukan dengan satu asas iaitu bertakwa kepada Allah SWT.

- Advertisement -

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai umat manusia sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari laki-laki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa serta bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah siapa yang paling bertakwa di antara kamu.” (Al Hujarat: 13)

Semua manusia berasal dari satu ayah dan satu ibu iaitu Adam dan Hawa. Allah sebagai Tuhan Yang Maha Esa. Islam sebagai Adden dan Muhammad s.a.w sebagai Rasul.

Dengan demikian orang-orang Islam mempunyai satu ikutan menyatukan mereka menjadi satu barisan bagaikan satu bangunan yang kuat sebahagiannya menguatkan bahagian lain.

Sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Seorang yang beriman bagi orang yang beriman bagaikan sebuah bangunan sebagaimana menguatkan bahagian yang lain kemudian Baginda s.a.w merapatkan antara ciri-cirinya.” (Al Bukhari -Sahih)

Inilah perumpamaan Islam yang sejati sehingga berbagai kabilah, suku, bangsa dan kelompok yang mempunyai perbezaan bahasa dan warna kulit boleh bersatu dalam satu umat yang saling tolong menolong dan bantu membantu bagi menguatkan bahagian yang lain dalam aspek kehidupan dan lapangan kerja.

Seorang Muslim harus merasai apa yang dirasai orang Islam lain. Jika saudara Islamnya mendapat kesenangan dan kegembiraan dia pun merasai gembira begitu juga sebaliknya, jika saudaranya ditimpa musibah dia merasa sedih dan bersimpati.

Orang-orang Islam bagaikan satu tubuh. Apabila salah satu anggota sakit maka seluruh bahagian tubuhnya yang lain akan merasa sakit hingga tidak boleh tidur.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Perumpamaan orang-orang yang beriman itu bagaikan satu tubuh dalam berkasih sayang, belas kasihan. Jika salah satu bahagian menderita maka mengeluhlah semua bahagian tubuh dengan sakit dan tidak boleh tidur sepanjang malam.”

Persaudaraan Islam sangat memerlukan di antara umat manusia: orang-orang yang teraniaya mesti ditolong, dibebaskan dari segala bebannya.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Seorang Muslim itu saudara kepada Muslim yang lain, tidak boleh menzalimi dan tidak boleh menyakiti. Barang siapa menyampaikan hajat saudaranya maka Allah akan menyampaikan hajatnya, dan barang siapa yang meringankan kesusahan seorang Muslim maka Allah akan meringankan kesusuahannya pada hari akhirat.” – HARAKAHDAILY 31/3/2021

- Advertisement -