Di sebalik produk OEM

- Advertisement -

HEBAHAN mengenai bahayanya produk timbang kilo ini sudah pun dibuat. Apakah pandangan doktor dan hasil siasatan yang mungkin telah dijalankan terhadap beberapa produk timbang kilo yang telah dirampas?

Timbang kilo ini bermakna produk dibungkus semula oleh penjual. Bahan asal produk itu dibeli oleh pengilang dari kilang berstatus Original Equipement Manufacture (OEM). Produknya melibatkan mungkin berasaskan kosmetik, makanan dan penjagaan kesihatan. Bahan asas katanya dari sumber semulajadi dan mendapat notifikasi kelulusan KKM (NOT).

Maksudnya KKM telah meluluskan pengilangan dan pemprosesan produk asas berkenaan untuk dijual. Tetapi ianya masih lagi tertakluk kepada akta yang sedia ada dalam negara. Jika penjual ingin mendakwa bahawa produk itu menyembuh atau merawat penyakit, pendakwaan dan pengiklanan sesuatu produk itu perlu disertakan dengan bukti. Bukan semudah menyebut testimoni seorang dua pengguna produk.

- Advertisement -

Bahan produk yang dibeli dari syarikat OEM itu semua sama, cuma perbezaannya adalah:

1. Kaedah pemasaran. Di sinilah boleh berlakunya dakwaan berlebihan (overclaim) oleh jurujual mengenai keberkesanan dan keselamatan produk. Walhal kajian secara klinikal tidak pun dijalankan.

2. Bahan tambahan yang mungkin dimasukkan sebelum pembungkusan akhir. Bahan terlarang yang selalu digunakan adalah:

[a] Dexamethasone (Steroid) untuk cepat lega kesakitan dan sengal-sengal badan. 
[b] Sildenafil (Viagra) untuk gagah batin lelaki.
[c] Merkuri untuk kulit putih dan cantik wanita.
[d] Hidrokuinon dan Tretinoin dicampur dalam kosmetik supaya kulit makin putih, cantik dan gebu.

Banyak lagi senarai bahan terlarang yang dimasukkan sama ada sengaja ataupun tidak sengaja, sama ada penjual tahu ataupun tidak tahu bahawa bahan tersebut terlarang. Kenapa ianya dinamakan terlarang? Kerana pengambilan bahan-bahan tersebut yang tidak mengikut indikasi status penggunaan dan dos berbahaya boleh mengakibatkan kesan kesihatan serius kepada pengguna.

3. Walaupun negara kita mempunyai akta khusus dan penguatkuasaan telah berjalan bagi mengekang berlakunya penyelewengan seperti di atas, tetapi kerajaan masih memerlukan sokongan orang ramai. Masyarakat kena faham dan berhati-hati dalam membeli apa sahaja produk yang membuat dakwaan berlebihan itu. Biasanya dakwaan boleh mengubat atau merawat penyakit, adalah rekaan syarikat pengeluar sahaja. Tidak pernah pun dibuktikan secara kajian saintifik.

Sekali lagi tulisan ini bukan untuk menutup penjual tempatan yang menjual produk berkenaan. Tetapi untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa terdapat lagi di luar sana produk yang boleh mendatangkan bahaya tanpa kita sedari.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 31/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -