‘Warong Rider’ atasi sesak di bazar Ramadan

- Advertisement -

MELAKA: Perkhidmatan penghantaran barang Warong Rider yang dijadualkan bermula di Melaka awal bulan puasa ini, akan memberikan banyak keselesaan kepada orang ramai yang ingin mendapatkan juadah dari bazar Ramadan nanti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata platform yang melibatkan urusniaga secara e-dagang dengan pembayaran secara dalam talian itu juga sedikit sebanyak dapat memastikan penjarakan sosial, di samping menggalakkan orang ramai kekal selamat di kediaman masing-masing semasa berurusniaga, sekali gus membantu usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.

- Advertisement -

Beliau berkata bagi tahun 2021, program yang diselaraskan menerusi Melaka ICT Holdings (MICTH) dengan kerjasama Idea Kreatif Technology Sdn Bhd itu mensasarkan seramai 500 Warong Rider, dan 2,000 Warong Rider bagi seluruh negara.

“Jadi saya menyeru semua belia di negeri ini mendaftar dalam program ini di laman sesawang rasmi MICTH. Peluang ini wajar direbut memandangkan terdapat pelbagai insentif akan diperolehi penghantar (rider),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Warong Rider di bawah program Warongku di sini, hari ini.

Menurutnya antara insentif disediakan meliputi perlindungan penjana GIG, penyelenggaraan motosikal, insentif rider cemerlang, bonus bulanan dan tahunan, termasuk cabutan umrah.

Sulaiman berkata agen-agen juga boleh mendaftar secara percuma tanpa yuran bulanan atau tahunan, serta bayaran penuh kepada peniaga dengan komisen sehingga 20 peratus.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata konsep Warong Rider ini bukan sekadar menghantar pesanan makanan halal, malah telah diperluaskan kepada satu sistem penghantaran berpusat.

“Ini termasuklah penghantaran ubat-ubatan dari farmasi, penghantaran dokumen dari pejabat atau barangan dari rumah ke rumah serta penghantaran dari kedai runcit atau pasar raya terus ke lokasi pelanggan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -