‘Sekiranya perpecahan, nak bergabung semula sukar’

- Advertisement -

ALOR SETAR: Semua pihak diminta kembali kepada seruan penyatuan ummah dan bukannya misi untuk selamatkan parti masing-masing.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Yahaya berkata, apa yang disuarakan pada Persidangan Agung Umno (PAU) kelmarin merupakan suara ahli dan pemimpin parti berkenaan.

Namun menurutnya perkara yang lebih penting dan utama bukan untuk menyelamatkan parti sebaliknya perlu bergerak satukan ummah.

“Kita sewajarnya konsisten dengan seruan penyatuan ummah dan bukannya untuk parti masing-masing sama ada PAS, Umno atau Bersatu. Lebih besar daripada itu ialah selamatkan ummah dan Islam,” ujarnya di sini.

- Advertisement -

PAU Umno yang berakhir Ahad lepas memutuskan akan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang secara solo tanpa kerjasama dengan mana-mana parti lain kecuali Barisan Nasional (BN).

Malah PAU sebulat suara memberi mandat kepada Majlis Tertinggi untuk menentukan tempoh kepada Umno bagi menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad juga berkata, semua pihak sewajarnya tidak hanya memberi fokus kedudukan dan posisi masing-masing sama ada siapa menjadi ketua atau sebagainya.

“Sebaliknya kita memikirkan di manakah Islam di negara ini selepas ini. Keutamaan perlu diberi kepada masa depan agama dan anak-anak bangsa. Itu realiti ummah yang skopnya lebih luas.

“Umno mungkin hanya melihat siapa akan menjadi Perdana Menteri, menteri dan parti mana menjadi dominan negara kerana perkara tersebut dilihat dalam kelompoknya sendiri,” sambung beliau.

Beliau turut mengingatkan semua pihak tidak terikat dengan skop kepartian masing-masing, sebaliknya berusaha memastikan Islam berada di posisi yang baik.

Katanya juga cukuplah 22 bulan Malaysia ditadbir DAP dan Pakatan Harapan (PH) dan jangan biarkan situasi berkenaan berulang lagi.

“Sekiranya sekali lagi kita berpecah tidak mustahil akan menerima nasib yang sama seperti PRU14.

“Adakah setelah kita (PAS, Umno, Bersatu) bergabung akan berpecah semula. Sekiranya berlaku perpecahan selepas ini, hendak bergabung semula tentu sukar dan mungkin sudah terlewat,” ujarnya.

Oleh itu katanya semua pihak yang terlibat perlu mengukuhkan kesatuan kerana matlamatnya lebih besar berbanding kepentingan kecil parti tertentu.

Pesuruhjaya PAS Kedah itu juga yakin pemimpin dan ahli PAS konsisten serta senada memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) di Kedah sehingga berjaya membentuk kerajaan.

“Hasil penyatuan tiga parti tersebut kita berjaya menubuh kerajaan di Kedah dan dapat memberi khidmat yang baik kepada rakyat,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 30/3/2021

- Advertisement -