KOTA BHARU: Penganjur majlis keramaian serta kenduri di negeri ini diingatkan supaya memohon permit polis serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengawal dari berlakunya penularan jangkitan Covid-19.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata bagi memastikan kepatuhan SOP, penganjur juga diminta memaklumkan lokasi majlis serta jumlah jemputan yang dijangka hadir.
Beliau berkata kesemua Ketua Polis Daerah juga akan diarahkan supaya menyediakan satu format khas mengisi borang kepada orang ramai yang ingin menganjurkan majlis keramaian serta kenduri.
Lokasi dan kapasiti premis yang dicadangkan penganjur perlu sesuai dengan jumlah jemputan dan sekiranya tidak sesuai mereka perlu mencari lokasi lain, katanya ketika ditemui di Balai Polis Nilam Puri di sini, hari ini.
Semalam, Exco Kesihatan Dr Izani Husin mendedahkan peningkatan semula kes Covid-19 di Kelantan berlaku disebabkan oleh pihak yang menganjurkan majlis keramaian tanpa memohon permit polis. – BERNAMA