Kumpulan ‘Geng Nicky’ lumpuh, polis buru Nicky Liow

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis melumpuhkan kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’ apabila menahan 68 orang dan merampas ratusan ribu ringgit wang tunai serta aset bernilai jutaan ringgit dalam 70 serbuan di sekitar Selangor dan Lembah Klang.

Menyifatkan kumpulan itu sebagai ganas dan berbahaya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata Geng Nicky dipercayai terlibat dalam jenayah terancang antarabangsa, Macau Scam dan pengubahan wang haram.

- Advertisement -

“Dalam operasi ini, sebanyak 70 serbuan dijalankan bagi mengesan dan menangkap ahli kumpulan ini yang diketuai Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee berusia 33 tahun serta merupakan pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor.

“Kami turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 17 bersama satu kelopak peluru berisi sembilan butir peluru serta wang tunai pelbagai mata wang dianggarkan bernilai RM773,145 selain kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM6.67 juta,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini hari ini.

Sehubungan itu, polis kini memburu lelaki tersebut yang dipercayai masih bersembunyi dalam negara.

Mereka yang ditahan dalam operasi bermula 20 hingga 28 Mac lepas terdiri daripada 48 orang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA); 12 warga asing merangkumi 11 rakyat China dan seorang warga Myanmar yang ditahan mengikut Akta Imigresen; serta lapan rakyat tempatan yang ditahan di bawah undang-undang narkotik kerana positif ujian saringan air kencing. – HARAKAHDAILY 30/3/2021

- Advertisement -