Kontena dari Amerika bawa sisa plastik polietilena, bersih

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Dua buah kontena yang tiba di Pelabuhan Klang pada 27 Mac (Sabtu lepas) dari Amerika Syarikat mengandungi barang dagangan sisa plastik jenis polietilena yang bersih, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Sisa plastik tersebut adalah bersih, homogenous dan memenuhi kriteria seperti mana yang telah disyaratkan dalam lesen import sisa plastik (Approved Permit, AP) kepada pengimport,” katanya serta menambah perkara itu disahkan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN).

Beliau berkata pemeriksaan terhadap kontena berkenaan dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, JPSPN, Lembaga Pelabuhan Klang, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Westport Malaysia Sdn Bhd.

- Advertisement -

Tuan Ibrahim berkata selaku Competent Authority (pihak bertanggungjawab) terhadap Konvensyen Basel, JAS mengesahkan bahawa sisa plastik tersebut mematuhi kriteria B3011 Konvensyen Basel.

“Pengimportan sisa plastik B3011 ini tidak memerlukan prosedur Prior Inform Consent (PIC) dan notifikasi daripada negara pengeksport,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semakan JAS ke atas premis pengimport juga mendapati premis mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan menjalankan aktiviti kitar semula sisa plastik secara Environmental Sound Manner (ESM), katanya.

Foto daripada Facebook Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man.

Pada 20 Mac lepas, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata kontena dari Los Angeles akan ditahan apabila tiba di Pelabuhan Klang susulan maklumat yang diterima JAS daripada Sahabat Alam Malaysia pada 12 Mac lepas berhubung kontena dari Amerika Syarikat yang disyaki mengandungi sisa plastik.

Tuan Ibrahim berkata kerajaan amat menghargai sebarang maklumat awal yang disalurkan oleh mana-mana pihak dalam mendepani cabaran siasatan dan penguatkuasaan pergerakan sisa plastik merentas sempadan ke Malaysia.

“Sebarang cubaan untuk mengimport sebarang sisa ke Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 43, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan berdepan dengan tindakan tegas jika mereka gagal mematuhi perundangan dan prosedur pengimportan yang telah ditetapkan oleh Malaysia,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -