‘Jangan pula kita jadi sebab berlakunya perpecahan’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kemelut politik tanah air terus menjadi perhatian sejak akhir-akhir ini lebih-lebih lagi selepas Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020) yang telah melabuhkan tirainya pada Ahad.

Ia mengenai tekanan politik yang sedang dilalui PAS menerusi kerjasama politik bersama Umno menerusi Muafakat Nasional.

Dalam satu hantaran di Facebook rasmi Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menitipkan pesanan kepada ahli-ahli PAS supaya bersabar berikutan kemelut terkini politik.

- Advertisement -

Tuan Guru Abdul Hadi menekankan masalah utama yang dihadapi sekarang adalah perpecahan umat Islam.

Sehubungan itu, PAS mengambil tanggungjawab sebagai sebuah parti Islam yang berusaha menyatukan umat Islam tanah air dengan membawa agenda penyatuan ummah.

“Ummah yang dimaksudkan ialah umat Islam dan juga kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem. Inilah agenda perpaduan kita.

“Maka jangan kita berkasar terhadap rakan kita. Sebaliknya kita mesti menjalinkan hubungan bersaudara dan berukhuwah sesama kita,” ujar Ahli Parlimen Marang itu dalam hantaran di akaun media sosialnya pada Isnin.

Tuan Guru Abdul Hadi mengingatkan supaya ahli-ahli partinya tidak menjadi penyebab berlakunya perpecahan itu.

“Jangan pula kita menjadi sebab berlakunya perpecahan. Bersabar dan jadilah pendamai,” katanya lagi.

Dalam hantaran itu, beliau menerangkan demikian pada Ahad dalam Sesi Libat Urus bersama Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan selepas disoal pelbagai pihak berkaitan situasi semasa politik di tanah air. – HARAKAHDAILY 30/3/2021