Berdiri teguh bersama Presiden, perkukuh perpaduan

- Advertisement -

DEWAN Muslimat PAS Malaysia berdiri teguh di belakang Presiden kami dalam menawarkan perpaduan kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan sebuah negara yang berintegriti dan adil.

Dengan meletakkan Islam sebagai asas kepada perpaduan, apa yang perlu adalah meletakkan asas kemanusiaan sebagai satu nilai untuk sentiasa berbincang, menghormati, bertoleransi dan menghargai pendapat orang lain. Ini adalah penting sebagai suatu cara untuk mencari titik persefahaman dalam meraikan perbezaan masing-masing. 

- Advertisement -

Apa yang perlu diingat, Perikatan Nasional (PN) merupakan tawaran baru kepada rakyat Malaysia. Perikatan Nasional menawarkan agenda perpaduan ummah yang majmuk namun tetap mengekalkan prinsip Islam Memimpin. Kerajaan yang ingin dibangunkan ini merupakan kerajaan yang mengamalkan pengurusan yang berintegriti, berkebajikan yang adil. Hal ini bukan sahaja dapat dicapai jika pemimpinnya berakhlak mulia tetapi apabila jiwanya terikat dengan Allah S.W.T. Mereka adalah pemimpin yang mendirikan solat dan sentiasa memohon pertolongan Allah dalam segala usaha yang dilakukan. 

PAS telah membuktikan pemimpinnya mempunyai ciri-ciri di atas. Tiga negeri yang kini dipimpin PAS membuktikan PAS tidak hanya beretorik dalam usaha melahirkan pimpinan yang berintegriti. PAS sentiasa mentarbiah ahlinya supaya sentiasa meletakkan keredhaan Allah dalam segala matlamat usahanya. Wawasan PAS bukan sekadar mencapai kemenangan di dunia namun apa yang paling penting kemenangan di akhirat kelak.

PAS sentiasa memegang teguh ayat di bawah ini;

“Bukanlah menghadapkan wajah kalian ke arah Timur dan Barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, Nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam perjuangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” 

(al-Baqarah: 177)

PAS berpegang untuk menolak fahaman fanatik, ekstrem, Liberal yang tidak berpegang teguh pada agama. Perpaduan seharusnya dapat dicapai jika kita memilih untuk menyelamatkan ummah dan rakyat dari tembolok perut sendiri ataupun mengamalkan politik kepartian yang ekstrem. 

Sesungguhnya PAS meyakini perpaduan ummah merupakan jalan terbaik untuk menyatukan umat Islam di Malaysia ini. Pemimpin Islam harus bangkit demi menyelamatkan rakyat dari dimamah Liberalisasi dan kepimpinan yang mementingkan diri sendiri.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”
“Islam Memimpin Wanita Sejahtera”

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat Pas Malaysia
30 Mac 2021 | 16 Syaaban 1442H – HARAKAHDAILY 30/3/2021

- Advertisement -