Agihan peruntukan Belanjawan 2021 untuk agamawan Perlis

- Advertisement -

MERAFAK sembah menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis Indera Kayangan atas perkenan menerima patik dalam Majlis Sembah Menghadap tengahari semalam di Istana Arau.

Turut hadir adalah Ketua Pengarah JAKIM, Sahibus Samahah Mufti Perlis Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) dan Pengarah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

- Advertisement -

Saya menyembah maklum laporan 1 tahun pentadbiran sebagai Menteri, jua laporan semasa agihan pertama suku tahun 2021 kepada Imam dan Guru Takmir Perlis, laporan agihan peruntukan Guru KAFA Perlis pada tahun 2020 dan bayaran khas one-off (Belanjawan 2021) kepada Imam, Bilal, Noja, Siak, Merbot, Guru KAFA dan Guru Takmir Perlis.

Perincian agihan adalah seperti berikut:

1. Bayaran Khas One-Off RM500 Belanjawan 2021 kepada Imam, Bilal, Noja, Siak, Merbut, Guru Takmir dan Guru KAFA seluruh negara telah dimasukkan.

2. Agihan pertama suku tahun 2021 (Januari – Mac) kepada 186 orang Imam 1 dan Imam 2 di Perlis adalah RM474,300.00.

3. Agihan pertama suku tahun 2021 kepada 106 orang Guru Takmir di Perlis adalah RM286,200.00.

4. Jumlah peruntukan elaun 702 orang Guru KAFA tahun 2020 bagi Perlis adalah RM9,659,379.60.

Agihan suku pertama (Januari – Mac 2021) ini juga dijalankan serentak ke seluruh negeri-negeri. 

Patik mendoakan semoga DYMM Tuanku dikurniakan kekuatan, keberkatan dan kemegahan untuk terus kekal qararbersemayam di atas singgahsana dengan penuh ke’izzahan, kedaulatan dan kebesaran. Moga rahmat Allah S.W.T sentiasa memayungi dan bersama-sama DYMM Tuanku dalam memakmurkan Negeri Perlis yang tercinta ini.

Syahadan, doa yang penuh tulus jua dipanjatkan kepada-Nya agar DYMM Tuanku senantiasa dirahmati-Nya, dilanjutkan usia dalam ketaatan kepada-Nya dan sihat walafiat dalam keredhaan-Nya.

Titah nasihat Tuanku berkenaan amanah dan kejujuran dalam mentadbir akan patik junjung hingga ke akhir hayat, insya-Allah. Junjung kasih atas sekalian cendera kenangan Tuanku kepada patik.

YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 30/3/2021

- Advertisement -