Profesionalisme dan urustadbir Pejabat Menteri Besar Kedah

- Advertisement -

PIHAK pentadbiran ini ada mengikuti secara dekat perbahasan saudara Mohd Fadzil Zolkipli, wakil Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dalam Perhimpunan Agong Umno yang berlangsung pada 27 dan 28 Mac 2021 di Dewan Merdeka, PWTC.

Suka ditegaskan bahawa beberapa contoh dikemukakan berhubung peranannya selaku Pegawai Khas kepada YAB Menteri Besar Kedah dalam ucapan perbahasannya adalah tidak tepat dan mengelirukan. Pada hakikatnya urustadbir pejabat YAB Menteri Besar Kedah adalah inklusif. Tiada elemen segregasi politik, ideologi, perbezaan agama mahupun kaum yang dijadikan sebagai alat untuk meminggirkan mana-mana pihak.

- Advertisement -

Ini adalah selaras dengan misi dan pendekatan YAB Menteri Besar Kedah sendiri bahawa beliau adalah Menteri Besar untuk semua bukannya Menteri Besar Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Tuntasnya, sama ada pegawai, kakitangan perkeranian atau staf sokongan semuanya bekerja sebagai satu keluarga atas nama team spirit demi memberi khidmat kepada seluruh rakyat Negeri Kedah.

Ironinya, tidak ada tekanan politik atau alasan berbeza fahaman dalam parti politik yang dijadikan sandaran oleh pejabat pentadbiran ini dalam memberikan layanan yang berbeza. Justeru itu amatlah dikesali kerana saudara Mohamad Fadzil Zolkipli dilihat telah bertindak secara tidak matang dan profesional dalam mengemukakan contoh yang dicipta semata-mata mahu menjadikan perbahasannya lebih menarik dan diberi tumpuan.

Namun secara tidak sedar contoh diungkapkan itu memalitkan imej kurang baik dengan membawa refleksi seolah-olah urustadbir Pejabat Menteri Besar Kedah tidak dilaksanakan secara profesional, adil, berhemah lagi saksama.

Sekian, terima kasih.

DATO’ HAJI ARMISHAH SIRAJ, DSDK., DIMP., JSD., AMK., BCK.
Ketua Setiausaha Sulit kepada
YAB Menteri Besar Kedah Darul Aman – HARAKAHDAILY 29/3/2021

- Advertisement -