Petua Presiden PAS, tidak lemah jika ditipu

- Advertisement -

SEMENJAK lama dahulu beliau ditipu. Ia bukan ditipu sebagaimana dipatuk dua atau tiga atau lebih kali dalam lubang yang sama. Ia lubang yang berlainan. Sebagaimana cerdiknya kita, musuh juga terdiri dari kalangan cerdik. Maka ia tidak semudah yang dijangka untuk mengelak penipuan mereka.

Presiden kita tidak kisah berkawan dengan sesiapapun, asalkan satu, Islam mesti mendapat keuntungan. Ditipu oleh mereka yang mengaku kawan, kemudian menikam dari belakang, itu sudah biasa. Tidaklah sayugia bagi politikus jika takut ditipu oleh seteru dan mungkin juga sekutu. Tetapi beliau tetap mencuba.

Bila kita berperang dalam politik, kita sama-sama kena lincah. Begitulah Presiden PAS. Beliau mengikut petunjuk bagi memberikan hasil yang terbaik kepada jamaah. Petunjuk itu dalam berbagai bentuk. Daripada Quran dan Sunnah, semestinya. Daripada mesyuarat, buah fikiran pasukan dan panduan-panduan menerusi pengalaman beliau.

- Advertisement -

Tidak akan mengkhianati rakan, itulah prinsipnya. Periksalah dengan sebenar-benarnya, maka anda akan dapati sejarah telah membuktikan prinsip beliau itu dipegang kukuh. Malahan, beliau dan jamaah pula sama ada ditipu atau dikhianati rakan. Panjang berjela denai politik yang beliau telusuri, semua orang kehairanan, bagaimana beliau menghadapinya.

Jika kita dapat memerhatikan, acap kali beliau akan menyebut ayat dari surah al-Anfal ayat 60 dan 61, bagi menjelaskan bagaimana beliau tidak merasa lemah jika ditipu apabila mengorak langkah berdamai dengan musuh. Itulah kalam Allah sebagai penyejuk hati beliau. Apa yang diusahakan bagi menjayakannya, itu disuruh Allah berusaha. Manakala bagaimana ia berlangsung dan berakhir, itu urusan Allah. Tiada daya dan upaya kita mengaturkannya. Kita berusaha, Allah menetapkan.

Oleh itu, walaupun kita sebagai ahli, merasa amat perit apabila berlaku sesuatu keadaan yang dilihat sebagai mahu mempermainkan PAS, malah adakalanya dahulu, PAS pernah dituduh sebagai punca segala kegagalan kesatuan, kita mesti cuba semaksima mungkin mengikut jejak langkah ayahanda Presiden yang kita kasihi semua.

Mari kita sama-sama mencari isi kandungan, mentadabbur ayat yang sungguh mententeramkan jiwa kita di saat kita merasa lemah kerana ditipu. Kita pasti akan mendapat kemanisan daripada jaminan Allah ini. Kita tidak akan gentar lagi jika kita ditipu setelah berusaha gigih bagi menyelamatkan agama dan bangsa kita. Selebihnya, kita serahkan kepada Allah sebagai penentu.

Kita akan ke liang lahad dengan amalan yang kita usahakan. Mereka juga akan ke liang lahad atas kerja-kerja yang mereka laksanakan. Siapa yang benar, siapa yang salah, sudah pasti secara zahir di dunia ini telah pun kita lihat. Jangan kita lemah, jadilah kita sekuat Presiden kita yang tetap menggigit dengan gerahamnya apa-apa usaha yang akan membuatkan Islam duduk di tempat yang sepatutnya. Seharusnya kita malu kepada kesungguhan beliau:

۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ

“Tetapi jika mereka condong kepada perdamaian, maka terimalah dan bertawakallah kepada Allah. Sungguh, Dia Maha Mendengar, Maha Mengetahui.”


وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ

“Dan jika mereka hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindung) bagimu. Dialah yang memberikan kekuatan kepadamu dengan pertolongan-Nya dan dengan (dukungan) orang-orang Mukmin.”

(al-Anfal: 61- 62)

MOHD NASIR ABDULLAH
29 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 29/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -