Harimau yang luka ini perlukan rawatan

APA YANG dijangka berlaku telah pun berlaku. Ia bukannya sesuatu yang di luar jangka. Harimau ini kini tercedera luka. Tidak cukup sekadar meraung rintih, murung dan marah. Luka akan makin parah dan nyawa pun mungkin terancam.

Apa yang perlu dilakukan adalah merawat luka ini agar ia tidak semakin parah tapi segera sembuh. Tenaga perlu dipulihkan agar sang belang dapat kembali bangkit gagah berhadapan dengan musuh sebenar.

Advertisement

Perpaduan ummah yang menyatukan kuasa politik umat Melayu Islam bertenggek di atas kesungguhan dan komitmen ketiga parti PAS, Umno dan BERSATU. Tanpa penyatuan kukuh jalan nanti jadi tempang dan tidak mustahil terperosok menyembah bumi. Tatkala itu naik melata kembalilah musuh yang menunggu dan meninjau kelemahan kita.

Pagi ini antara ulasan menarik darihal perkembangan politik semasa datangnya dari Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod dari UIAM. Beliau dipetik dalam akhbar The Star pagi ini sebagai berkata bahawa beliau yakin PAS pasti terpanggil memain peranan mendamaikan antara Umno dan BERSATU yang sedang tegang.

Tambah Dr Nik pastinya PAS tidak mahu memilih antara Umno atau BERSATU. Ini kerana agenda PAS sejak awal bukan sekadar menang pilihan raya dan berkuasa semata-mata tetapi apa yang PAS inginkan adalah penyatuan kuasa politik umat Melayu Islam dalam negara.

Hanya apabila ini tercapai barulah selamat agama, bangsa dan negara kerana pastinya kita tidak mahu mengulangi kesilapan pada PRU ke-14 lalu. Untuk itu PAS dijangka terus memainkan peranannya. PAS tidak mudah berputus asa.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 29/3/2021