Pukulan ‘kepala angin’ gemparkan penduduk

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Angin ribut bergulung hitam dan gelap yang datang membadai rumah-rumah kediaman sememangnya menjadi satu kegemparan buat para penduduk Kampung Balok, di sini kelmarin.

“Saya tengok kat luar, nampak angin sangat kuat, saya tutup pintu, tapi atap rumah pula habis tercabut. Saya tak sempat nak buat benda. Saya tutup mana suis letrik yang menyala dan selamatkan barangan elektrik. 

- Advertisement -

“Saya tengok di luar habis dah pokok tumbang,” cerita seorang anak muda yang merupakan antara mangsa kejadian di mana menukar cuaca petang tersebut menjadikan suasana kelam dan menakutkan. 

Seorang lagi wanita memberitahu, dia nampak angin yang kuat, hitam gelap menuju ke arahnya, lalu berlari masuk ke dalam rumah, namun tiba-tiba bumbung rumahnya diangkat terbang, juga rumah jiran lainnya. 

“Kita rasa amat dukacita ribut melanda pada hari ini. Ribut ini orang kampung kata ‘kepala angin’. Kepala Angin ini hanya tumpu pada laluan dia saja,” kata Pengerusi JKK Balok, Mansor Mokhtar. 

Menurut beliau, dianggarkan sebanyak 25 rumah terlibat dengan ribut ini, namun jumlah sebenar belum diketahui kerana pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang membuat pendaftaran mangsa-mangsa terlibat. 

Sementara itu Pengerusi JKK Chengal Lempong, Sheikh Zahari Sheikh Sulaiman segera menggerakkan pendaftaran mangsa dan menyediakan pusat pemindahan di Dewan Orang Ramai Balok bagi penduduk yang memerlukan.

Kedua-dua JKK ini bagaimanapun bersyukur atas tindakan segera ADUN Beserah, Andansura Rabu dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang turun padang ketika bencana ini berlaku bagi membantu penduduk.

Andansura memberitahu, ribut yang melanda Kampung Balok pada petang tersebut telah melibatkan hampir 70 rumah dengan menimpakan kerosakan antara 20 hingga 80 peratus rumah dan juga rumah kedai yang terlibat. 

“Penduduk yang terlibat melebihi 150 orang dan kita sedang dalam usaha untuk mendapatkan maklumat lanjut bentuk-bentuk bantuan kita dapat berikan kepada mereka. 

“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, pihak Agensi Bencana Awam Negara juga telah turun memberikan bantuan segera,” kata Andansura. 

Menurut beliau lagi, pihak Majlis Bandaraya Kuantan juga sedang berusaha untuk membersihkan kawasan-kawasan yang terlibat, selain usaha bagi mendapatkan tenaga tambahan daripada agensi lain.

Antaranya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) serta Jabatan Amal Malaysia (AMAL) sedang diusahakan untuk membantu kerja-kerja pembersihan sisa-sisa runtuhan ataupun terkena bencana ini.

“Saya rasa ini adalah bencana yang paling teruk untuk tempoh minggu ini. Kita di sekitar DUN Beserah ini telah ditimpa ribut pada hari Selasa lepas dan semalam dan yang ini paling teruk sekali,” ujarnya lagi. 

Para dermawan yang bersimpati boleh turut membantu menerusi sumbangan ke akaun Bank Islam 0601 9010 0577 92 atas nama PAS Kawasan Indera Mahkota dan sebarang pertanyaan hubungi 0199898311. – HARAKAHDAILY 28/3/2021

- Advertisement -