Kibaran ‘Sang Saka Bangsa’, tanda sidang terbesar PAU 20

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Upacara menaikkan ‘Sang Saka Bangsa’ itu dimulakan dengan menaikkan bendera yang berkibar megahnya tanda bermula persidangan terbesar Umno.

Bendera Umno dinaikkan diiringi lagu Wanita Umno, seterusnya Pergerakan Pemuda Umno dan diikuti Pergerakan Puteri Umno yang dilakukan oleh ketua masing-masing di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), pagi tadi.

Wanita Umno disempurnakan oleh Dato’ Seri Dr Noraini Ahmad, Pergerakan Pemuda UMNO oleh Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki manakala bagi Pergerakan Puteri Umno oleh Dato’ Zahida Zarik Khan.

- Advertisement -

Ini kemudian disusuli dengan nyanyian lagu parti ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ dengan ‘Sang Saka Bangsa’ dinaikkan oleh Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dikibarkan, yang turut diiringi Timbalannya, Dato’ Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung Umno, Dato’ Seri Ahmad Maslan.

Upacara menaikkan bendera ini turut hadir disaksikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO.

Walau bagaimanapun, semua hadirin yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang majlis berlangsung.

Namun, tahun ini sedikit kelainan kerana tiada sesi pemeriksaan perbarisan oleh presiden sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.

Selesai acara yang penuh simbolik itu, Ahmad Zahid akan menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 di Dewan Merdeka, 9 pagi.

Terdahulu, anggota MKT mengabadikan momen PAU 2020 ini dalam sesi bergambar yang turut melibatkan anggota Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Justeru, PAU 2020 mencatat sejarah tersendiri kerana pertama kalinya diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya di Dewan Merdeka dan secara maya di 190 UMNO Bahagian-bahagian.

Lalu, perhimpunan agung bagi Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Umno berjaya dilaksanakan persidangannya secara bersemuka serta maya dan perasmian secara serentak disempurnakan oleh Timbalan Presiden parti, Sabtu lalu.

Oleh demikian, ia tetap tidak mematahkan semangat pendukung parti bagi menunaikan tanggungjawab kesempurnaan PAU 2020 walaupun berdepan dengan suasana norma baharu sejak semalam. – HARAKAHDAILY 28/3/2021

- Advertisement -