KOTA BHARU: Tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang rendah dalam komuniti dan di tempat kerja merupakan antara faktor wujudnya dua kluster baharu di Kelantan hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata dua kluster itu iaitu Kluster Paya Rambai melibatkan pekerja di sebuah premis perniagaan di Jalan Long Yunus, Kampung Paya Rambai, di sini manakala Kluster Pengkalan Nangka pula melibatkan empat keluarga besar di Kampung Pengkalan Nangka di Tumpat.
“Kluster Paya Rambai telah melaporkan 30 kes dari daerah Kota Bharu, Tumpat dan Bachok setakat hari ini. Kes dalam kluster ini terdiri daripada pekerja premis tersebut dan ahli keluarga terdekat.
“Kluster Pengkalan Nangka pula telah melaporkan 20 kes hingga hari ini yang merupakan ahli keluarga terdekat. Ia masih tertumpu di daerah Tumpat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau turut mengingatkan rakyat Kelantan untuk terus mematuhi SOP norma baharu bagi mengelakkan jangkitan terus berlaku dalam komuniti.
“Kita semua sebagai rakyat Kelantan perlu memainkan peranan penting dalam usaha melandaikan keluk pandemik COVID-19 di negeri ini,” katanya.
Kelantan merekodkan 86 kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di negeri itu sebanyak 5,928 kes. – BERNAMA
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!