Mangsa ribut terima bantuan segera pelbagai pihak

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Sebanyak 27 rumah kediaman telah mengalami kerosakan struktur bahagian bumbung akibat ditimpa hujan lebat dan angin ribut yang melanda dua hari, di sini kelmarin dahulu.

ADUN Beserah, Andansura Rabu memaklumkan, ia melibatkan lima kampung iaitu Kampung Sungai Karang Pantai, Kampung Chengal Lempong, Kampung Baru Beserah, Kampung Pantaindan Kampung Batu Hitam.

“Kebanyakan atap yang tercabut adalah dari pelbagai jenis iaitu zink, asbestos dan genting. Lebih banyak kerosakan yang dialami bagi rumah mangsa disebabkan dihempap pokok.

- Advertisement -

“Bila kita mendapat berita kemalangan tersebut, maka kita telah hubungi pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Kita telah hantar Kit Kecemasan dan bantuan ke rumah mangsa pada hari kejadian. Kita cuba atur juga tempat tinggal jika perlu, tetapi kebanyakan mereka memilih berada di rumah masing-masing dalam keadaan berhati-hati.

“Ada juga kalangan mereka yang menumpang di rumah saudara mara berhampiran,” ujar beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang.

Tengku Panglima Muda Pahang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga telah mencemar duli hadir memberikan sumbangan kepada mangsa-mangsa.

Baginda telah diiringi Andansura dan Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah pada majlis ringkas diadakan di Balai Raya Kampung Batu Hitam, di sini kelmarin dahulu.

Seorang mangsa, Hamzah Jusoh, 75, melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan dan prihatin yang diberikan oleh pihak Istana Pahang, Pusat Khidmat DUN Beserah, Pusat Zakat dan JKM. – HARAKAHDAILY 26/3/2021

- Advertisement -