Pulau Pinang tiada kemampuan sendiri bekal air mencukupi?

- Advertisement -

KERAJAAN Negeri Pulau Pinang dituntut memberi penjelasan terhadap kemampuan sebenar perbekalan air bersih bagi keperluan di seluruh negeri. Sehingga kini, masih berlaku kejadian bekalan air terputus secara kerap terutama melibatkan kegunaan rumah kediaman. Keadaan ini tentunya menimbulkan kesulitan ke atas rutin kehidupan harian rakyat.

Malah memberi kesan kepada aspek ekonomi, di mana sesuatu kawasan menjadi tidak berdaya huni, bahkan akan dipertikaikan untuk mengadakan perancangan kemajuan di masa depan. Oleh itu, jaminan terhadap kemampuan penyediaan perkhidmatan bekalan air bersih adalah isu yang mesti diberi perhatian kritikal oleh pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Sehingga kini sebahagian Pulau Pinang masih bergantung sumber air dari luar antaranya Sungai Muda yang puncanya dari kawasan tadahan di Ulu Muda, Kedah. Untungnya Pulau Pinang, kerana Kedah memulihara dan memelihara secara lestari kawasan tersebut. Namun, apakah kontigensi Pulau Pinang seandainya Kedah mengubah pewartaan kawasan tersebut?

- Advertisement -

Perkara ini bermakna Pulau Pinang perlu memiliki kemampuan sendiri tanpa bergantung kepada negeri lain dalam memberikan perbekalan terpaling penting ini. Kerana jika Kedah menutup kawasan Ulu Muda untuk tujuan pembangunan lain, keperluannya masih besar mencukupi dari enam empangan yang menjadi sumber air mentah di negeri itu. 

Malah, paras air di empangannya sentiasa berada pada kadar tidak kurang 70 peratus dan setiap kali kemarau hanya menyusut pada kadar 20 hingga 30 peratus sahaja. Berbeza dari empangan di Pulau Pinang yang seringkali juga berada di paras rendah. Itupun, beberapa pembangunan yang dirancang berhampirannya dikhuatiri menjejaskan lagi paras rendah sedia berlaku.

Andaian atau kemungkinan ini perlu ada dalam persediaan Pulau Pinang dalam menghitung pembangunan masa depannya. Jangan ghairah membangunkan projek mega seperti Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR), tetapi kelak gagal menyediakan perkhidmatan atau kemudahan paling asas ini selaras keperluan industri atau pertambahan penduduk.

Pulau Pinang juga tidak perlu bersikap tamak dan berdegil dari pelawaan rundingan berkaitan permintaan Kedah untuk mendapatkan bayaran atas pengorbanannya menjamin kelestarian kawasan tadahan air Ulu Muda. Ianya dilakukan Kedah selama ini atas kepentingan bersama termasuk kepada negeri Perlis. Malah, penggunaan Pulau Pinang jauh lebih besar dari Kedah sendiri.

Bahkan, dengan adanya sumber air terjaga berpunca daripada Kedah ini, Pulau Pinang selama ini telah dapat merancakkan pembangunan negeri tanpa masalah tersebut. Maka permintaan Kedah itu amat patut diberi perhatian dan penghargaan sewajarnya. Bukan dengan bersikap keras kepala dan meremehkan Kedah yang mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian.

Kerana Kedah sememangnya mempunyai hak untuk membangunkan wilayah mereka. Manakala Pulau Pinang pula perlu membangunkan tanggungjawab dan keupayaan sendiri dalam menyediakan perkhidmatan berkaitan keperluan rakyatnya. Oleh itu, kami menuntut agar penjelasan perkara ini dapat diberikan sebagai jaminan terhadap keperluan hidup di masa depan.

SAIFUL LIZAN MD YUSOF
Pengerusi
Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar
PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 25/3/2021

- Advertisement -