BINTULU: Jabatan Kesihatan Bintulu menempatkan pelajar dan guru yang menjadi kontak rapat pesakit positif Covid-19 di hotel untuk dikuarantin.
Langkah itu diambil bagi tujuan pengasingan dan menjalankan ujian calitan hidung dan tekak.
Menurut laporan laman Edisi UKAS sebanyak enam sekolah di Daerah Bintulu ditutup selepas 12 pelajar dan kakitangan sekolah didapati positif Covid-19 pada Selasa.
Sekolah tersebut iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (C) Siong Boon, Sekolah Kebangsaan (SK) St. Anthony, SK Sungai Tisang, SK Kelawit, SK Nanga Tau dan SK Kampung Jepak.
Ahli Parlimen Bintulu Dato’ Sri Tiong King Sing berkata, empat guru sekolah rendah dan menengah serta pelajar yang terlibat dalam pengajaran dalam talian juga diuji positif Covid-19.
“Mereka dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintulu, SMK Baru, SMK Tatau dan SK Tanjung Batu.
“Sekolah-sekolah tersebut belum ditutup kerana mereka yang dijangkiti hanya terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran dalam talian sebelum diuji positif Covid-19,” ujarnya pada kenyataan media semalam.
Tiong yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat berkata, kerja-kerja sanitasi turut dijalankan ke atas premis yang terlibat.
Menurutnya juga ada ibu bapa mencadangkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menghentikan sementara kelas secara bersemuka bagi mengelak penularan pandemik Covid-19.
“Saya meminta KPM mengkaji semula kes-kes tersebut dan mendengar maklum balas daripada ibu bapa untuk menggantikan pengajaran secara bersemuka dengan kelas dalam talian memandangkan bilangan kes di sekolah terus meningkat,” ujarnya.