Konsep al-Jama’ah menurut Salaful Ummah

- Advertisement -

TERDAPAT sebuah Hadis Sahih yang menyatakan suruhan Nabi agar kita beriltizam dengan Jama’ah al-Muslimin ketika fitnah-fitnah yang digambarkan seperti asap melanda umat Islam. Selanjutnya jika situasi semakin memburuk, Nabi menyuruh agar kita bersedia untuk ber’uzlah.

Nilai al-Jama’ah seperti yang telah disabdakan oleh Nabi, bukan dengan konsep ala-ala kolektivisme yang menilai suara ramai itu semestinya benar. Ia juga tidak membawa aspirasi individualistik yang mengatas-namakan kepentingan diri sendiri kononnya sebagai kepentingan al-Jama’ah.

- Advertisement -

Sebaliknya al-Jama’ah yang dimaksudkan adalah mewakili prinsip yang benar dan jati diri yang kukuh. Semestinya untuk menilai perkara tersebut, kita memerlukan ilmu dan prinsip yang tidak boleh dijual beli. Sekalipun ia dilihat tersisih dari arus massa dan sangat merugikan dari sudut nilaian dunia. Ini yang telah ditegaskan oleh Ibnu Mas’ud:

الجماعة ما وافق الحق ولو كنت وحدك

“Al-Jama’ah adalah apa yang selari dengan prinsip kebenaran, sekalipun kamu berseorangan.”

(Riwayat Tirmizi)

Begitu juga Imam Nu’aim b Hammad al-Khuza’iy turut menjelaskan:

إذا فسدت الجماعة فعليك بما كانت عليه الجماعة قبل أن تفسد ولو كنت وحدك فإنك أنت الجماعة

“Apabila al-Jama’ah telah rosak, maka hendaklah kamu kekal dengan pegangan seperti sebelum ianya rosak. Walaupun kamu berseorangan, kerana ketika itu kamulah al-Jama’ah.”

Ternyata penjelasan al-Jama’ah dari generasi Salaf al-Salih, menghubungkannya dengan konsep ‘uzlah jati diri. Ini amat selari dengan Hadith Nabi yang menyusuli pesanan agar bersedia untuk ber’uzlah ketika nilai al-Jama’ah sudah dirosakkan.

Apabila konsep al-Jama’ah itu telah dieksploit untuk mewajarkan amalan tipu menipu, hipokrasi dan penzaliman, maka ketika itu kita disuruh untuk tetap berada dalam prinsip asal yang tidak terlibat dengan gejala-gejala mazmumahtersebut. Hal ini disokong dengan Hadis-hadis yang menekankan soal jati diri di zaman fitnah.

‘Uzlah yang dimaksudkan di sini bukanlah secara literal perlu terus memilih jalan pasif iaitu bersembunyi di dalam gua persis kisah Ashabul Kahfi. Kefahaman secara fatalistik seumpama itu tidaklah menguntungkan umat.

Sebaliknya ia seperti yang dijelaskan oleh Said Qutb dengan maksud ‘Uzlah Nafsiyyah. Iaitu tidak memutuskan pergaulan dengan manusia. Pada masa yang sama tidak terpengaruh dengan arus dunia yang merosakkan dan tetap menjalankan islah pada kadar kemampuan yang ada.

Yang pasti, kejahilan tidak akan memandu kita ke jalan yang selamat. Disebabkan itu Islam amat menggesa umatnya memiliki ilmu yang mencerahkan dan pertimbangan moral yang konsisten.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 25/3/2021

- Advertisement -