Hapus budaya normalisasi zina, pelihara maruah diri

- Advertisement -

ISU Sugar Baby-Sugar Daddy (SBSD) kini antara isu hangat yang menjadi bualan orang ramai selepas tertangkapnya pengasas laman web SugarBook baru-baru ini oleh pihak polis.

Artikel empat siri ini antaranya turut menampilkan dua orang bekas Sugar Baby menceritakan pengalaman pahit mereka sepanjang bergelumang dengan aktiviti ini, serta turut membincangkan isu ini dari aspek psikologi, pendidikan, sosial serta kaca mata agama.

Siri keempat dan terakhir bagi isu Sugar Baby-Sugar Daddy (SBSD) ini mengutarakan pandangan Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam UiTM Cawangan Melaka, Dr Khairul Azhar Meerangani serta pendakwah bebas Ustazah Asma’ Harun yang membicarakan bagaimana untuk menyelesaikan isu sosial ini dari kaca mata Syariah Islam.

Ikuti selanjutnya tulisan wartawan Bernama, Muhammad Basir bin Roslan.

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Terdapat terdapat dua faktor utama yang mempengaruhi keterlibatan para pelajar dalam kancah Sugar Baby Sugar Daddy (SBSD) iaitu kejutan budaya dan perubahan gaya hidup.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam UiTM Cawangan Melaka, Dr Khairul Azhar Meerangani berkongsi pemerhatian beliau ketika diminta mengulas isu SBSB dan pandangannya tentang bagaimana cara menanganinya berdasarkan kaedah Syariah Islam.

Menurut beliau, ramai anak muda yang pada awalnya begitu ‘thiqah’ (berhati-hati) dengan menjaga peribadi dan maruah diri ketika mula mendaftar masuk ke universiti.

Bagaimanapun, akhirnya berubah 360 darjah saat menempuhi budaya baharu yang dilihat mereka lebih kelihatan moden dan menepati tuntutan jiwa remaja.

“Antaranya aktiviti ber’couple’ (yang telahpun dinormalisasikan dengan label seakan-akan ‘Islamik’), fesyen ala kebaratan, imej seksi serta penggunaan gajet, yang tanpa disedari merapuhkan jati diri serta identiti bakal intelektual.

“Sehingga akhirnya keberadaan di pentas menara gading hanya digunakan demi segulung ijazah semata-mata, tanpa manifestasi adab,” demikian kata Khairul Azhar kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau turut berpandangan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga menjerumuskan ramai orang termasuk pelajar institut pengajian tinggi dalam konflik kewangan, namun dosa dan maksiat bukanlah jalan penyelesaian utama.

Semakin ramai daftar SB

Lebih ramai pelajar universiti dilaporkan terlibat dalam kancah maksiah SBSD yang dilihat sebagai jalan termudah untuk memperoleh wang serta habuan lain bagi menampung kos sara hidup termasuk yuran pengajian.

“Situasi ini dibuktikan menerusi peningkatan sebanyak 40 peratus pelajar yang mendaftar sebagai Sugar Baby sejak Januari 2021, didorong krisis kewangan yang terpaksa ditempuhi.

“Berdasarkan laporan berita sebelum ini juga mendapati sebanyak dua (2) IPTA dan lapan (8) IPTS tersenarai dalam ranking Top 10 sebagai ‘Universiti Sugar Baby’, yang kesemuanya berpusat di Lembah Klang. Ramai sedia maklum Lembah Klang antara lokasi yang penuh dengan pelbagai cabaran dan godaan duniawi,” katanya.

Beliau menegaskan, meskipun kerajaan mengisytiharkan perintah darurat, namun darurat ini tidak mengharuskan sebarang tegahan syarak seperti kegiatan SBSD yang tidak bermoral ini.

“Perlu kita tahu masih terdapat pelbagai platform kewangan patuh syariah yang lain yang boleh diusahakan seperti perniagaan atas talian (online), bantuan zakat, sedekah, pendanaan awam, pinjaman tanpa faedah (qard al-hasan), pengurusan kewangan dan sebagainya. Insya-Allah, platform ini lebih meluas keberkatannya selain dapat membantu dari segi kewangan kita meskipun jumlahnya mungkinlah tidak seberapa,” jelasnya.

Beliau menegaskan, perkara paling penting ialah inisiatif diri sendiri untuk berterusan memelihara kehormatan diri (hifz al-‘Ird) yang juga merupakan satu tuntutan agama serta Allah turut menjanjikan pahala jihad berterusan.

Ini bersesuaian tuntutan Allah di dalam Al-Quran menerusi Surah Al-Ahzab ayat 35,“…dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah sebanyaknya serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah sebanyaknya, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”

Khairul Azhar turut menyatakan, daripada jumlah keseluruhan 556,000 kes Sugar Daddy yang dilaporkan di rantau Asia, Malaysia berada di kedudukan ketiga dengan penglibatan seramai 42,500 orang atau 7.5 peratus, di belakang Indonesia dengan 60,250 orang.

“Hipotesis awal pakar merumuskan negara dengan tahap pendidikan yang lebih tinggi terbukti lebih rentan terhadap aliran ini berikutan bebanan hutang pendidikan yang terpaksa ditanggung oleh pelajar sehingga menamatkan pengajian.

“Selain itu, jurang yang semakin melebar antara golongan kaya dan miskin di Asia dalam dua dekad terakhir mendorong ramai wanita khususnya yang muda untuk mencari lelaki yang lebih tua dengan kewangan stabil bagi menjamin kelangsungan hidup,” jelasnya.

Hapuskan apps zina kelas atasan

Sementara itu, pendakwah bebas Asma’ Harun turut mengakui bahawa sejak dulu lagi beliau banyak menerima luahan pengakuan pelajar universiti yang terlibat dengan aktiviti pelacuran.

Apa yang lebih menakutkan adalah kebanyakan ibu bapa tidak pernah tahu perbuatan anak mereka walaupun sudah bertahun bergelumang dengan kegiatan maksiat itu.

Ini kerana kebanyakan mereka berselindung di sebalik penampilan muslimah dan berpakaian menutup aurat ketika pulang ke kampung dan sangat berjaga-jaga agar ‘rahsia sisi gelap’ tidak diketahui.

Menurut Asma’, semuanya itu boleh terjadi kerana sebahagian remaja hari ini menjadikan media sosial sebagai ‘kiblat’ hidup mereka, mula keinginan untuk diterima masyarakat, ingin dilihat hebat dan ketagihan penghargaan, perhatian dan populariti.

Media sosial diakui membentuk gambaran gaya hidup yang diimpikan, lalu timbul keghairahan untuk mencapainya, merasuk dan menjalar hingga ke tulang.

Apa sahaja cara walau salah dan kotor dipejamkan mata, ditulikan telinga dan dibutakan hati, agar “yang penting aku dapat, aku yang untung, aku yang rasa”.

“Itu belum lagi kita sentuh ideologi menyesatkan seperti kebendaan dan sekularisme yang kini banyak diikuti oleh golongan muda dengan mengasingkan terus agama dalam kehidupan seharian mereka.

“Seolah-olah mereka ini tidak lagi takut dosa, hidup perlulah dinikmati tanpa ada ikatan salah dan betul, bahkan mereka menganggap tubuh badan adalah hak milik mutlak sendiri.

“Anak-anak yang berada di dalam bilik atau rumah, mereka mula keluar ke alam maya yang jauh lebih luas. Apa yang mereka lihat dan baca sangat mempengaruhi fikiran, prinsip, kefahaman, pegangan dan seterusnya tingkah laku mereka. Dan sudah tentu segala yang dilarang agama adalah yang menyeronokkan dan menjadi satu impian remaja hari ini,” tambahnya.

Asma’ turut menegaskan bahawa laman Sugar Book bukan hanya sekadar dating apps, taglinenya sahaja sudah jelas menyatakan bahawa ianya sebuah laman sosial yang dibina untuk Romance Meet Finance iaitu ‘Keromantisan Bertemu Dengan Kewangan’.

“Aplikasi ini merupakan sebuah laman sosial yang menjadi pemudah cara kepada zina. Ini jelas bertentangan dengan larangan Allah di dalam Surah Al-Isra ayat 32, “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

“Lebih menjelikkan, ada yang memberi alasan bahawa mereka yang menjadi SB kerana berada dalam keadaan terdesak dan memerlukan pendapatan untuk menyara hidup. Apapun alasan diberikan, ianya tidak sesekali diterima oleh Islam dan semua agama serta budaya. Kaedah Fiqh juga menyebutkan secara tegas bahawa matlamat tidak menghalalkan cara,” katanya.

Cegah sebelum parah

Asma’ menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW menerusi hadis baginda sering kali memberi peringatan akan tiba saatnya, normalisasi zina akan berlaku dan bakal mengundang bala, keburukan dan kehancuran dalam masyarakat.

Antara hadis yang popular ialah hadis riwayat al-Tabrani yang bermaksud “Sekiranya berleluasa perbuatan zina dan riba dalam sesuatu kawasan, maka mereka telah mengundang azab Allah kepada mereka.”

Beliau turut berharap usaha berterusan membanteras kegiatan ‘pelacuran moden’ ini secara lebih drastik, keras, segera oleh semua pihak dapat dilaksanakan, terutamanya oleh pihak kerajaan yang ada kuasa, ibu bapa penjaga dan masyarakat.

“Jika tidak, walaupun mungkin kita dan ahli keluarga tidak terlibat, lalu hanya dibiarkan sahaja, bimbang sikap kita seperti termasuk di kalangan yang redha kepada maksiat.

“Dan ingatlah, rasa benci terhadap kemungkaran merupakan petanda masih wujudnya iman di dalam hati, jika tidak bimbang kita mati dalam tiada iman,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -