DUN Panching dilanda banjir kali kedua tahun ini

- Advertisement -

PAYA BESAR: ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya segera menggerakkan persediaan banjir berikutan hujan lebat sejak dua hari sebelumnya menyebabkan kawasan rendah dinaiki air antaranya Kampung Pandan Dua, di sini semalam.

Beliau sendiri meninjau kawasan tersebut bersama Pasukan Bomba dan Penyelamat Taman Tas dan Jabatan Amal Malaysia Negeri Pahang yang sudah bersiap siaga untuk membantu pada penduduk untuk berpindah.

- Advertisement -

Di sebelah petangnya, beliau sempat meluangkan masa dan membawa beberapa barangan keperluan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Pandan Satu. 

Maklum Ustaz Tarmizi, pihak Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Panching akan memberi bantuan bekalan makanan jika keadaan berlarutan di mana PPS tersebut setakat petang itu menempatkan seramai 54 mangsa melibatkan 21 keluarga.

Pihaknya juga akan berusaha membantu penduduk yang terputus bekalan akibat penutupan jalan dan kerja-kerja pembersihan pasca banjir akan diberikan selepas mangsa pulang ke rumah masing-masing jika keadaan memerlukan. 

Di PPS semua disediakan termasuk makanan, khemah, pemantau, penyediaan makanan dan keperluan lain dari masa ke semasa seperti lampin pakai buang untuk kanak-kanak dan terdapat juga permintaan kerusi roda untuk digunakan oleh warga emas. 

Pemantauan berterusan oleh Pegawai Majlis Keselamatan Negara juga ditempatkan bagi memastikan mangsa-mangsa banjir sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19. 

“Semua rumah terkena banjir, dan dicadangkan mereka semua berpindah ke PPS. Jika malam ni hujan lebat, berkemungkinan air akan naik kembali. Lihat pergerakan anak-anak supaya tidak ada yang bermain banjir dan sebagainya. Bahaya.

“Kedua, siapa-siapa yang pindah, tinggalkan rumah tu, kena pastikan membawa semua barang-barang penting, dokumen penting dan sebagainya. 

“Dan mereka yang belum pindah, seandainya nampak ada pergerakan air yang cepat, yang paling penting sekali ialah menyelamatkan nyawa dan dokumen-dokumen penting untuk dibawa ke pusat perpindahan,” nasihat Ustaz Tarmizi kepada mangsa banjir. 

Dalam tinjauan Ustaz Tarmizi mendapati terdapat beberapa kawasan lain turut dinaiki air, tetapi tidak tinggi seperti di Chendering, PAKR Pandan dan setakat ini, hanya satu PPS dibuka di kawasan DUN Panching.

Seorang mangsa banjir, Sulastri Sukarto, ibu muda dalam pantang anak kedua, Nurfarisya Sofia Mohd Farizul Hakimi, 2 bulan, memberitahu tahun ini kali kedua rumah mereka dinaiki air selepas kali pertama akhir Januari lalu.

Sepasang suami isteri yang turut berpindah ialah Mohd Izhar Mohd Asri dan Siti Rohani Abdul Kadir, ketika ditemui mengatakan ini kali kedua untuk tahun ini mereka berada di PPS yang sebelum ini banjir berlaku di penghujung Januari itu. 

Menurut pasangan tersebut ketika ditemui, air naik dengan cepat sejak petang semalam (Selasa) setelah hujan dari malam sebelumnya termasuk kediaman dan kejiranan lain sekitarnya. 

“Risau dan sedih itu ada sebab terpaksa tinggalkan rumah, fikir barang-barang kat rumah, balik penat nak kemas pula, tapi syukur ada tempat tinggal, kalau kat rumah, tandas tak ada, sebab bagus ada tempat pindah ini.

“Ada tempat nak mandi, ada orang sediakan makan, alhadulillah, disebalik ujian itu, bersyukur juga sebab penempatan macam ini,” ujar pasangan tersebut. 

Turut sama berada di Dewan Pandan Satu petang tadi ialah Penghulu Mukim Kuala Kuantan 2, Datuk Roslan Amat dan Pengerusi JKKK Kampung Pandan 1, Ishak Mat Arib serta Pengerusi Kami Prihatin Pahang, Mohd Rosli Saad.

Juga Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pahang, Mohd Fitri Abdullah dan Timbalan Briged Umno Paya Besar, Dato’ Mohd Zaili Besar. – HARAKAHDAILY 25/3/2021