Anggota polis cedera terkena tembakan sendiri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seorang anggota polis cedera di paha kiri selepas terkena tembakan sendiri ketika sedang mengosongkan peluru pistolnya.

Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku di Balai Polis Meranti Pasir Mas kira-kira jam 11.30 malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, anggota terbabit baharu selesai bertugas dan ingin menyimpan senjata api seperti biasa.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya ketika sedang mengosongkan peluru pistol, senjata api milik anggota berusia 29 tahun itu tiba-tiba meletup.

“Satu das tembakan terlepas daripada pistol berkenaan dan terkena paha kiri mangsa.

“Seorang rakannya yang berada di lokasi segera membantunya yang berlumuran darah dan mangsa segera dibawa ke hospital,” katanya pada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mangsa sekarang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Oleh itu beliau berkata, siasatan terperinci akan dibuat bagi mengetahui punca sebenar kejadian sama ada kerana kecuaian atau membabitkan perkara lain.

“Setakat ini kes disiasat mengikut Kertas Enkuari Polis (KEP),” katanya.

Dalam perkembangan lain Shafien berkata, IPK Kelantan menawarkan potongan bayaran saman sebanyak 50 peratus.– HARAKAHDAILY 25/3/2021

- Advertisement -