AKSEM di bawah PDRM mampu sekat pencerobohan lebih efisien

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Langkah meletakkan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) di bawah tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menyekat pencerobohan masuk warga asing ke dalam negara dengan lebih berkesan dan efisien, terutama ketika penularan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu bertujuan menstruktur semula dan memperkasakan strategi kawalan sempadan negara secara holistik bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan rakyat kekal terpelihara.

“Bagi membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan, kerajaan baru-baru ini telah bersetuju untuk meletakkan AKSEM di bawah tanggungjawab PDRM,” katanya dalam amanatnya sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata menerusi Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 2017, AKSEM adalah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri yang melaksanakan kawalan di sempadan darat negara terhadap kegiatan penyeludupan atau kegiatan tidak sah yang lain. 

Sebelum ini, keanggotaan AKSEM melibatkan lima agensi sedia ada iaitu PDRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, dan peranan AKSEM kini diletakkan di bawah Pasukan Gerakan Am (PGA).

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut mengucapkan syabas kepada PDRM bersama agensi dan jabatan kerajaan lain yang telah mengawal sempadan negara daripada dibolosi warga asing dalam beberapa operasi berterusan seperti Op Pasir dan Op Benteng.

Beliau berkata lebih membanggakan, walaupun hampir seluruh kekuatan telah dikerahkan untuk penugasan Op COVID-19, PDRM tetap berjaya mengimbangi keutamaan perkhidmatan pasukan memerangi jenayah serta mengekalkan rasa selamat dalam kalangan rakyat sekali gus memastikan keamanan negara.

“Mereka adalah antara ‘the real frontliners’ (barisan hadapan yang sebenar) yang telah bertungkus lumus mengekang penularan COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata bagi melindungi anggota PDRM daripada perbuatan fitnah penjenayah atau orang tidak bertanggungjawab, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM30 juta bagi tujuan pembelian kamera badan untuk kegunaan anggota polis.

Katanya dengan penggunaan kamera badan berteknologi tinggi dan canggih, beliau percaya moral dan keyakinan anggota PDRM dapat dipertingkatkan semasa melakukan operasi dan penugasan yang telah ditetapkan. – BERNAMA

- Advertisement -