KOTA BHARU: Anak-anak muda berpeluang berinteraksi dengan Mufti Kerajaan Kelantan, Dato’ Muhamad Syukri Mohamad pada program bertema ‘anak muda nak tahu’.
Pengarah Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes) Kelantan, Ustaz Nasruddin Mahmud Muhaidin berkata, slot itu akan diadakan secara bersiri dikenali program ‘Toleran Mufti’.
Katanya, program bersemuka anak muda itu bersama Mufti Kelantan akan diadakan bermula pada 28 Mac ini.
“Toleran Mufti akan dikendali sendiri mufti Kelantan bermula dengan tausiah kemudian diikuti soal jawab yang akan disiarkan secara langsung,” katanya selepas menyampaikan taklimat berkaitan program terbabit kepada anggota Exco Ustaz Wan Roslan Wan Hamat, pada Isnin.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Zuraidin Abdullah dan wakil Jabatan Mufti Kelantan.
Hadir sama wakil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Yauasan Islam Kelantan (YIK), Kelab Darulnaim, Majlis Belia Kelantan, Adun Belia Kelantan dan Komuniti Gentera.
Oleh itu kata beliau belia dan beliawanis yang berminat bersama pada program tersebut boleh menghubungi pihak U-Bes memandangkan tempat hanya terhad 30 orang sahaja.
Menurutnya juga peserta hadir pada program terbabit akan disediakan cenderamata dan sijil penyertaan.
“Program yang akan diadakan sebanyak lima siri bertempat di Dewan Bunga Teratai Kompleks Kota Darulnaim,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/3/2021