Sektor agromakanan perlu teknologi mekanisasi dan automasi

- Advertisement -

SERDANG: Sektor agromakanan negara perlu memberikan penekanan terhadap penggunaan teknologi mekanisasi dan automasi, pembangunan model pertanian moden, pertanian tepat, agrorobotik dan aplikasi berasaskan Internet benda (IoT) untuk meningkatkan produktiviti.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata kelestarian dalam pengeluaran pertanian dan industri makanan menjadi satu agenda yang penting untuk menjadikan Malaysia sebagai pengeluar makanan dengan menggunakan sumber tenaga yang cekap melalui penggunaan teknologi inovatif.

“Pendekatan baharu dan di luar kebiasaan sememangnya perlu bagi memastikan kita dapat menghadapi pelbagai cabaran sekuriti makanan termasuk (semasa) pandemik COVID-19,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan (NAFEC) 2021, di sini semalam.

- Advertisement -

Menurutnya, penggunaan Prosedur Operasi Standard Kehilangan Lepas Tuai Padi yang dibangunkan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) dapat mengurangkan kehilangan lepas tuai padi daripada 28.5 peratus kepada 7.9 peratus. 

Ia adalah contoh penggunaan teknologi mekanisasi yang dapat meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kehilangan lepas tuai.

“Ini membuktikan keperluan mekanisasi dalam industri pertanian tidak boleh dipandang remeh kerana penggunaannya mampu memberi impak dalam meningkatkan hasil pengeluaran kepada negara dalam jangka masa panjang,” katanya. 

Ronald berkata penggunaan mekanisasi dan automasi, sistem pertanian pintar, aplikasi IoT dan dron mampu menarik minat petani dan pengusaha makanan daripada golongan anak muda sekali gus meningkatkan produktiviti pengeluaran dengan pengurusan yang cekap. 

“Saya percaya, kehadiran generasi muda akan menyemarakkan lagi profil sektor pertanian sebagai satu sektor yang dinamik, moden dan menjadi sumber kekayaan baharu negara setanding sektor-sektor ekonomi yang lain,” katanya.

Pada majlis itu, Ronald turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara MARDI dan Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSAE) bagi menjalinkan kerjasama untuk memajukan sektor agromakanan negara dalam bidang kejuruteraan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Haslina Abdul Hamid, Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Nor dan Presiden MSAE Pror Dr Rosnah Shamsudin.

Pada majlis itu, Ronald turut melancarkan dua penerbitan ilmiah iaitu Buku Teknologi Kejuruteraan Agromakanan MARDI serta edisi pertama Advanced Agriculture and Food Research Journal oleh MSAE.

Buku Teknologi Kejuruteraan Agromakanan MARDI merupakan evolusi teknologi kejuruteraan agromakanan yang telah dibangunkan sejak penubuhan MARDI dari era 1980-an sehingga kini, manakala Advanced Agriculture and Food Research Journal merupakan penerbitan saintifik bagi perkongsian hasil penyelidikan berkaitan teknologi maju dan terkini dalam agromakanan.

“Buku-buku teknologi berbentuk ilmiah ini sekali gus dapat menyebar luas teknologi baharu yang berpotensi untuk diketengahkan kepada petani dan pengusaha ladang dan makanan,” kata Mohamad Roff. – BERNAMA

- Advertisement -