Menghidupkan kasih sayang, bukan ketakutan

- Advertisement -

SAYA agak tertinggal kapal. Ketika ramai sudah khatam 5 Season siri Dirilis Ertugrul, saya baru tamat menonton Season 2. Hambatan masa dan kekangan mencari sesuap nasi kekadang menambat diri dari mencuri masa untuk bersantai-santai.

Siri Ertugrul ini memang ‘berhantu’. Di setiap hujung satu-satu episod, ada ‘hook’ yang akan menyebabkan anda terus membiarkan butang ‘next episode’ ditekan automatik. Lebih teruk, kadang-kadang dek kerana penangan adrenalin, belum sempat ngauman ‘aeeeeee aeeeeeeee’ (anda tahu bunyi ini) habis, sudah ditekannya ‘next episode’.

- Advertisement -

Tapi bukan ini yang ingin saya ceritakan. Saya ingin bercerita sudut pandang saya, terkait suasana kepimpinan, dalam organisasi, pejabat atau negara. Kayi adalah kabilah yang hebat, dengan pemimpin seperti Sulayman Shah, Haymee Hatun, Ertugrul dan Gondugdu. Kita dapat lihat penghulu ‘alp’ melayan orang bawahan mereka dengan mesra. Tapi tegas.

Ertugrul sering menepuk bahu, paha dan perut alpnya bila berkata-kata. Rasa kasih kepada tenteranya diterjemah dengan kata-kata dan juga sapaan mesra. Adakalanya, setelah berjaya membunuh musuh, mereka melompat melagakan dada sesama sendiri merayakannya. Mesra, kasih dan sayang terpancar dalam hubungan pemimpin dan orang rendahannya.

Dodurga pula adalah kabilah saudara yang sedikit berbeza. Cara Panglima Perang melayan alpsnya agak kasar. Kalau salah terus dimaki dan dihukum. Sekiranya arahan tidak diikut, atau gagal menyempurnakan misi, belasahan daripada Tugtekin pasti menyusul. Sehingga alpnya sentiasa takut dengannya. 

Kedua-dua persekitaran yang berbeza ini melahir natijah yang juga berbeza. Kita dapat lihat sepanjang penceritaan kabilah Kayi dan Dodurga, terdapat terlalu banyak pengkhianatan oleh alp. Namun kalau anda perasan, pengkhianatan banyak berlaku dalam kabilah Dodurga.

Bermula dengan pengkhianatan Kosyabash, kemudian Aytolun Hatun, Gumustekin dan Goncagul Hatun, sehingga ke Bogac, semuanya adalah mereka yang menaruh dendam terhadap kabilah mereka dan Ertugrul. Tidak bertaubat sehingga ke akhirnya.

Sedangkan Alp Ertugrul kekal setia. Bamsi, Dogan, Turgut, Hamzah dan Abdurrahman kekal setia kepada Ertugrul. Walaupun pada beberapa ketika, Hamzah terpesong kerana marahkan Gondogdu, namun beliau bertaubat semula dan menebus dosanya. Begitu juga Turgut yang merajuk seketika kerana Ertugrul tidak mahu terus membunuh Noyan, namun kembali semua kepada Beynya.

Pengajarannya apa? Pengajarannya ialah kita mampu menghidupkan kesetiaan dengan kasih sayang, bukannya ketakutan. Jika orang bawahan kita buat kerja kerana takut dimarahi atau diambil tindakan, kesetiaannya pasti tidak berkekalan. Namun, jika mereka rela bekerja kerana sayang dan hormatkan ketuanya, pasti mereka kekal setia.

Di pejabat juga begitu. Marahilah pekerja anda sekiranya tersilap, tetapi tunjukkan juga kasih anda kepada mereka. Pimpin dan bimbing mereka supaya menjadi lebih baik, dan bukan menghukum mereka hanya kerana kesilapan yang kecil.

Saya baru mula menonton Season 3. Banyak lagi drama pengkhianatan dan kekejaman yang bakal disaksikan. Luanglah masa untuk sama-sama menonton bersama keluarga. Ia mungkin lebih bermanfaat daripada drama Korea atau Godzilla (sila kecam).

Paling cantik, andai dapat dikutip sekelumit iktibar dari perjalanan perjuangan Islam dahulu kala, untuk sama-sama diamal atau dijauhi. Sesungguhnya tabiat manusia dan konfliknya itu sentiasa berulang-ulang, cuma latar hidup dan zaman sahaja yang membezakan.

Eyvallah!

YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 24/3/2021

- Advertisement -