Kenapa ada ahli PAS suka dengar fitnah dan sebarkan? (Siri 6)

- Advertisement -

PASTIKAN anda memahami syarat yang telah dinyatakan dalam Siri 1 sebelum menyambung membaca tulisan ini.

Kontraktor, madu atau racun?


Dalam kita berbicara mengenai pemerintahan, antara pihak yang terpenting dan tidak boleh dikesampingkan ialah kontraktor. Mereka adalah tulang belakang dalam agenda memajukan negara. Dengan wang yang banyak, kemahiran mengurus, mereka boleh membentuk pasukan yang kuat melalui penubuhan syarikat bagi memenuhi aspirasi kerajaan dalam pembangunan negara.

Kebiasaannya mereka adalah rapat dengan parti memerintah. Keuntungan mereka juga banyak dikembalikan kepada kerajaan dalam berbagai bentuk. Ada juga yang memberikan dalam bentuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) atau juga derma politik kepada parti-parti yang mereka suka. Saya tidak katakan derma ini sebagai rasuah, saya cuma mengatakan bahawa ia adalah derma kepada parti politik yang mereka gemari. Derma politik bukan satu kesalahan.

- Advertisement -

Yang saya tahu, ada berbagai cara untuk menganugerahkan kontrak. Ada yang secara bidaan, ada juga secara runding terus. Kuasa penuh kepada yang berkuasa bagi menentukan siapa yang akan menerimanya dalam cara runding terus. Berbanding dengan bidaan yang memerlukan pemilihan beberapa kriteria yang memenuhi kehendak kerajaan seperti harga yang rendah, modal dan sebagainya oleh panel penilai.

Sebahagian kontraktor-kontraktor ini, mereka mempunyai perancangan mereka sendiri. Pada ghalibnya, apabila hampir PRU, mereka akan mula menyalurkan derma kepada parti-parti politik sama ada kerajaan ataupun pembangkang. Tetapi derma itu, mestilah diketahui oleh parti itu yang ia datang daripada mereka. Ini saya namakan sebagai taktik mengail. Mungkin niat mereka, jika kerajaan menang, nama mereka akan ada sebagai penderma. Begitulah juga sebaliknya jika pembangkang yang menang.

Selalu alasan yang diberikan kepada parti pembangkang ialah mereka sudah lama menyokong, tetapi sokong dalam diam kerana menjaga periuk nasi mereka. Jadi mereka juga inginkan pembangkang menang, sambil menghitung-hitung kejahatan kerajaan. Bagi yang naif, terus mempercayai kata-kata mereka ini. Adakalanya sebelum PRU, akan muncul kontraktor yang akan meluahkan rasa kecewa mereka. Kita hanya mendengar sebab kadang kala, luahan mereka adalah kerana mahu menguji atau mencari untung bagi pihak mereka sahaja.

Semestinya akan ada kontraktor dari mana-mana parti yang berkelayakan bagi menjalankan kerja-kerja ini. Ada kontraktor yang sudah lama menyumbang kepada parti masing-masing. Apabila menang PRU, tidaklah pelik jika kontrak runding terus diberikan kepada yang layak dan agak rapat, kerana ia adalah hak penuh pihak yang berkuasa ke atas projek itu. Tiada kesalahan. Mungkin secara giliran. Dan masalah timbul apabila yang baru berjinak-jinak dengan parti memerintah mendakwa mereka juga menderma kepada parti, mahukan juga kontrak seperti orang yang lama.

Akan berlakulah sikap tidak puas hati sebahagian mereka. Mulut akan menjadi bising dengan cerita negatif orang-orang yang mereka rasakan menjadi penghalang kepada hasrat mereka. Agak lebih kecoh jika mereka mempunyai saudara mara dari kalangan pimpinan parti. Lebih senang untuk mereka menggunakan emosi bagi menarik simpati. Tekanan akan bertambah jika saudara mara mereka itu turut masuk campur dan memberikan tekanan kononnya waris mereka itu teraniaya. Lazimnya kerana cerita sebelah pihak.

Saya pernah berjumpa dengan kontraktor yang tidak mendapat projek dan saya tahu, dia ada memberikan derma politik. Entahlah, mungkin dia tidak layak. Penuh mulutnya mengutuk orang yang bertanggungjawab dengan kelulusan projek itu. Suatu ketika, saya dapat tahu yang dia telah diberikan projek oleh orang yang sama, mungkin dia lulus kriteria yang dikehendaki. Saya tanya dia, bagaimana sekarang (orang yang meluluskan projek itu) lantas dijawabnya, sebenarnya dia itu, OK, tiada masalah. Saya ketawa. Begitulah keadaan sesetengah kontraktor, segera berubah mengikut kelulusan.

Sesetengah kontraktor suka menabur janji. Janji itu, janji ini, semua mereka akan dan boleh buat. Bagi yang mempercayainya, ia adalah satu kesilapan besar. Kontraktor jenis ini boleh diibaratkan sebagai kawan yang terdesak mahu berhutang, berjanji bulan dan bintang. Bila sudah dapat wang, bayang pun hilang. Jadi antara kriteria utama yang perlu dijauhi ialah kontraktor jenis suka berjanji bermacam-macam.

YB-YB PAS zaman itu, mereka tiada pengalaman dengan hal berkaitan projek. Jadi amat sukar untuk mereka mengawal projek. Tetapi, apa pun yang berlaku kepada projek-projek itu, tetaplah YB-YB PAS yang kena. Alhamdulillah penggal itu, projek dari Kerajaan Negeri sangat kurang kerana kekangan kewangan. Kalau tidak salah ingatan saya, Terengganu hanya menerima sekali sahaja bayaran royalti sebanyak RM400 juta. Dan selebihnya dikawal oleh JPP. Dari satu segi, syukur kerana kurang fitnah projek.

Projek-projek di Terengganu ketika itu adalah tertumpu kepada projek membina pagar-pagar konkrit di sekolah-sekolah. Lalu digelar ‘Terengganu Darul Pagar’. Dan selepas Idris Jusoh menang, beliau membuat banyak ‘billboard’ untuk kempen penerangan beliau. Dan gelaran ditukar menjadi ‘Terengganu Darul Billboard’. Kesemua projek-projek itu dikawal oleh Umno. Dan kontraktor kuranglah datang kepada PAS.

Berbanding kini, dengan wang royalti dikembalikan, dan menyambung beberapa projek-projek besar yang telah dilaksanakan kerajaan terdahulu, YB-YB PAS diserang dengan lebih hebat berkaitan dengan kawalan projek. Dan cerita-cerita kurang enak, mulalah tersebar. Tidak lagi menjadi rahsia kepada semua, siapa yang berkenaan, jika kita membaca dalam media sosial. Tetapi apabila diminta bukti, diam semuanya. Agak malang kerana ia tidak pernah disahkan, tetapi dipercayai oleh sebahagian kita dan disebarkan.

Kadang kala saya terfikir, sejauh manakah keikhlasan sesetengah kontraktor-kontraktor ini bila mana mereka menyatakan mereka ikhlas membantu, tetapi apabila tidak mendapat projek atau kurang projek diperolehi kerana terpaksa berbahagi dengan orang lain, mereka mula rasa tamak dan tidak puas hati dan mengungkit. Entahlah, mungkin juga sepertinya mereka ingin memberikan lebih derma kepada agama, jika kita bersangka baik. Isu ini akan saya kupas dalam siri yang lain dengan lebih terperinci, insya-Allah.

Suka saya tegaskan sekali lagi bahawa tulisan ini hanyalah ditujukan kepada sesetengah kontraktor yang bermasalah sahaja. Bukan saya maksudkan semuanya berperangai sebegitu, tetapi ada spesis begini yang pernah saya temui. Sebagaimana kenyataan pada awal penulisan saya, tulisan saya berdasarkan fakta sejarah, pengalaman diri dan penceritaan orang. Jadi sepatutnya jika anda kontraktor dan bukan dari kalangan yang saya nyatakan itu, maka tidak perlulah marahkan saya, kecuali anda memang begitu. Jika benar, berubahlah.

MOHD NASIR ABDULLAH
24 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 24/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -