Perlu menabung setiap bulan baik pulih rumah

Foto hiasan.
- Advertisement -

SESIAPA sahaja yang memiliki kenderaan akan menghantar kereta mereka untuk diservis dari semasa ke semasa.

Selalunya minyak hitam perlu ditukar apabila mencapai tempoh yang tertentu atau kilometer ditetapkan.

Minyak gear juga perlu ditukar menurut tempoh yang ditetapkan. Sistem penghawa dingin (air condition) juga perlu diservis. Selain itu palam pencucuh (spark plug), penapis udara (air filter), tayar dan banyak lagi perlu ditukar dari semasa ke semasa.

Setiap pemilik kereta sedar tentang tanggungjawab mereka dan jika mereka gagal ia bukan sahaja akan memberi kesan kepada prestasi kereta mereka tetapi boleh merosakkannya.

- Advertisement -

Malah bukan sekadar rosak sahaja tetapi boleh menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa. Akhirnya akibat hendak menjimatkan wang pemilik akan menanggung kerugian yang lebih besar.

Tetapi bagaimana pula dengan pemilik rumah? Adakah rumah kediaman juga perlu diservis dari semasa ke semasa seperti kereta?

Penyelenggaraan bangunan seperti rumah kediaman juga penting. Tidak ada barang yang kekal selama-lamanya. Bahan-bahan binaan juga mempunyai jangka hayat masing-masing.

ISKANDAR ABDUL SAMAD

Walaupun ia tidak akan mengalami kerosakan yang kerap seperti komponen-komponen sebuah kereta, namun ia tetap akan mengalami kerosakan dan perlu diganti.

Walapun bagaimanapun tidak ramai pemilik-pemilik rumah yang mempunyai kesedaran ini. Seorang pemilik kereta ada memperuntukkan wang untuk servis dan membaiki kereta mereka. Namun jarang sekali seorang pemilik rumah memperuntukan wang untuk membaik pulih rumah mereka.

Mereka tidak perlu membaik pulih rumah mereka sekerap sebuah kereta dihantar untuk diservis atau dibaik pulih tetapi ia masih perlu dibaik pulih.

Jika sebuah rumah dibeli dengan harga RM250,000 adakah pemiliknya akan mensasarkan simpanan RM30,000 semata-mata untuk membaik pulih rumahnya selepas 20 tahun?

Dia mungkin perlu menabung setiap bulan untuk mengumpul jumlah tersebut yang akan diperlukan jika terdapat kerja-kerja baik pulih yang diperlukan.

Contohnya pendawaian elektrik yang memerlukan pemeriksaan dari semasa ke semasa dan perlu ditukar jika telah terlalu lama. Jika ia sekadar cat yang pudar atau terkopek tidak merbahaya tetapi pendawaian elektrik yang lama boleh mengakibatkan litar pintas dan kebakaran.

Contohnya saya menghadapi masalah dengan bumbung rumah saya yang selalu bocor. Saya beberapa kali membaik pulihnya tetapi menurut kontraktor sudah sampai masanya untuk ia ditukar terus.

Ini tidak menghairankan kerana rumah tersebut berumur hampir 40 tahun. Tidak ada yang kekal selama-lamanya di dalam dunia ini.

Di pembangunan strata seperti pangsapuri, masalah seperti ini dapat di atasi kerana pemilik perlu membayar sinking fund selain daripada yuran penyelenggaraan.

Sinking fund ini akan digunakan untuk kerja-kerja baik pulih contohnya untuk bumbung, pendawaian elektrik, sistem pembentungan atau lif.

Pungutan sinking fund ini adalah untuk memastikan Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) memiliki dana untuk kerja-kerja membaik pulih.

Walau bagaimanapun terdapat banyak kes di mana pemilik tidak membayar yuran penyelenggaraan dan JMB atau MC perlu menggunakan sinking fund untuk membayar kos penyelenggaraan harian.

Akhirnya apabila terdapat kerja-kerja yang perlu dibaik pulih maka dana di dalam sinking fund tidak mencukupi.

Penduduk akan marah kepada JMB dan MC apabila kerja-kerja baik pulih tidak dapat dilaksanakan, namun ia adalah salah mereka sendiri kerana tidak membayar yuran penyelenggaraan secara tetap.

Akhir terdapat JMB dan MC yang memohon bantuan kerajaan negeri. Ketika PAS berada dalam kerajaan negeri Selangor satu program bantuan membaik pulih pembangunan strata telah dimulakan yang dinamakan CERIA. Tetapi bukan semua negeri memiliki skim yang bersistematik seperti ini.

Rakyat perlu diberi kesedaran tentang betapa pentingnya menabung untuk kerja-kerja membaik pulih dan menyelenggara kediaman mereka.

Ramai yang apabila membuat pinjaman untuk membeli rumah menyangka hanya kos harga rumah dan yuran guaman yang mereka perlukan. Atau mungkin ada juga yang memasukkan kos menambahbaik (renovation).

Justeru itu mereka beranggapan tanggungan kewangan bulanan mereka hanyalah bayaran ansuran bulanan. Tetapi sebenarnya tanggungan mereka adalah lebih daripada itu.

Jika mereka membeli rumah terpakai (subsale) dan tidak bernasib baik, mereka terpaksa menanggung kos baik pulih setiap bulan.

Untuk rumah baharu sekalipun, terdapat kos penyelenggaraan dari semasa ke semasa. Selepas mungkin 10 atau 20 tahun terdapat kerja-kerja baik pulih besar yang diperlukan. Buatlah perancangan awal. – HARAKAHDAILY 23/3/2021

Penulis merupakan Ketua Penyelaras Pusat Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)

- Advertisement -