GRS jadi aspirasi rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Pembentukan kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai aspirasi rakyat Sabah bagi melihat lebih banyak pembangunan dilaksanakan.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee berkata, komitmen Kerajaan Persekutuan memberi kerjasama padu kepada Sabah akan memacu pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik di negeri itu.

Katanya, kerajaan negeri sekarang di bawah GRS seiring dengan Kerajaan Persekutuan.

Advertisement

“Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional (PN) menyedari wujud jurang perbezaan dalam aspek pembangunan di Sabah berbanding negeri lain di negara ini,” katanya pada satu kenyataan di sini semalam.

Menurut laporan Utusan Borneo Kerajaan negeri Sabah diterajui Ketua Menteri Dato’ Seri Panglima Hajiji Mohd Noor memberi harapan baru terhadap agenda pembangunan Sabah.

Ketika lawatan ke Sabah kelmarin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk merapatkan jurang sosio ekonomi di Sabah dalam tempoh 10 tahun.

Perdana menteri mendedahkan perkara itu pada Sesi Balai Rakyat Wawasan Kemakmuran Bersama di Kota Kinabalu.

Dr Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan yakin perancangan yang dilakar kerajaan negeri akan dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan.

GRS mentadbir Sabah selepas memenangi Pilihan Raya Negeri pada September lepas setelah kerajaan diterajui Warisan tumbang akibat wakil rakyat keluar parti.

Dan pada Januari lepas GRS turut menandatangani perjanjian persefahaman bagi meningkatkan hubungan antara parti dalam gabungan tersebut yang turut disertai PAS dan Umno. – HARAKAHDAILY 23/3/2021