KOTA BHARU: Pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melaksanakan beberapa pelan jangka pendek dan jangka panjang bagi mengatasi masalah bekalan air di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memberitahu pelan jangka pendek SPAN membina tangka sedutan separa tertanam di bawah Projek CSR SPAN yang melibatkan kos RM47,000 sebagai langkah sementara menyelesaikan bekalan air di wad-wad lama HRPZ II.
Ahli lembaga SPAN Shahir Adnan berkata, SPAN melalui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memulakan projek pembinaan ‘dedicated pipe’ dari tangka air Merbau terus ke HRPZ II sebagai jaminan bekalan air kepada hospital.
Malah katanya, projek penukaran paip dalam bandar Kota Bharu juga siap dan mula beroperasi.
“Punca berlakunya gangguan air dalam tempoh terkini disebabkan oleh kerja-kerja penyelarasan sistem agihan bagi paip-paip baharu tersebut.
“Sememangnya akan berlaku gangguan bekalan air di sekitar Kota Bharu termasuk di HRPZ II.
“Namun pada masa yang sama terdapat kerja-kerja pengalihan dan pemasangan paip yang terpaksa ditangguhkan di sekitar HRPZ II disebabkan oleh kerja-kerja pembinaan pagar mitigasi banjir di HRPZ II,” katanya di sini.
Menurutnya juga kerja-kerja tersebut akan disiapkan dalam masa terdekat dan gangguan bekalan air akan dapat dikurangkan.
Shahir juga berkata, usaha meningkatkan projek bekalan air di Kelantan mengambil masa memandangkan sebelum ini negeri tersebut menjadi mangsa politik.
Katanya sekarang usaha meningkatkan bekalan air serius dilakukan selepas berpuluh tahun Kelantan berdepan dengan kekangan politik oleh kerajaan Pusat.
“Isu air di Kelantan sememangnya masih menjadi topik hangat. Ada sesetengah pihak menjadikan isu air sebagai alat politik untuk memburukkan nama kerajaan negeri dan tempiasnya kepada kerajaan Perikatan Nasional.
“Memang tidak dinafikan bahawa air merupakan keperluan asas setiap rakyat dan bagi aktiviti harian di hospital termasuk HRPZ II,” katanya.
Oleh itu, beliau berharap semua pihak bersabar dan yakin dengan usaha-usaha yang sedang dijalankan bagi mengatasi masalah air di negeri tersebut. – HARAKAHDAILY 22/3/2021