Perang Syria: 10 tahun Syria berdarah

15 MAC 2021, genap 10 tahun bumi Syria telah bermandi darah namun tanda-tanda pendamaian di rantau tersebut belum lagi menampakkan hasilnya. Syria, sebuah negara yang terletak betul-betul di kawasan Timur Tengah dikelilingi oleh negara Turki, Iraq, Jordan, Palestin dan Lubnan. Syria juga merupakan sebuah negara yang sangat cantik sehingga Aleppo dinobatkan sebagai ‘The Most Beautiful and Elegant City in The World’ oleh BBC pada 2016.

Namun demikian, bumi Syria hari ini ibarat padang jarak padang terkukur. Kebanyakan bangunan yang terdapat di Syria hari ini hancur dan masjid-masjid seperti Masjid Khalid Al Walid rosak teruk akibat perang tersebut.

Pengaruh Arab Spring di Timur Tengah merupakan faktor terbesar yang menyumbang dalam kebangkitan rakyat Syria menentang rejim keluarga Al-Assad yang sudah 40 tahun memegang tampuk kekuasaan. Arab Spring yang berlaku di Timur Tengah ketika itu telah menyebabkan kejatuhan pemimpin-pemimpin yang memerintah secara kuku besi seperti Muammar Gaddafi di Libya, Hosni Mubarak di Mesir dan Tunisia.

Advertisement

Kebangkitan rakyat di Syria bermula apabila terdapat sekumpulan pelajar yang berumur antara 10-15 tahun telah menconteng dinding sekolah dengan perkataan yang berbaur provokasi terhadap rejim Al Assad yang berbunyi, ‘Your turn next, Doctor (Assad)’ menggambarkan bahawa Basyar Al Assad akan dijatuhkan seperti yang berlaku di negara-negara yang telah melalui fasa Arab Spring. Kemudian bermulalah konflik perang saudara di Syria.

Perang saudara di Syria bukan sahaja dilihat dalam kerangka pertembungan antara Sunni dan Syiah atau rakyat dan pemerintah rejim Al Assad, malah lebih jauh daripada itu. Hakikatnya Syria menjadi satu medan pertembungan antara proksi bagi negara-negara yang terlibat dan mereka mempunyai kepentingan serta agenda yang tersendiri.

Berlaku campur tangan kuasa Asing dalam konflik di Syria

a. Amerika Syarikat

Amerika Syarikat, Rusia, Turki dan Iran merupakan negara-negara yang terlibat secara langsung dalam konflik di Syria. Alasan utama Amerika Syarikat campur tangan dalam konflik ini adalah untuk memerangi pengganas seperti ISIS dengan menaja proksinya iaitu Syrian Democratic Force (SDF) di bawah payung People’s Protection Units (YPG). 

Pada tahun 2020, PENTAGON telah memperuntukkan 200 juta USD untuk disalurkan kepada SDF yang dilihat sebagai ‘reliable partner’ untuk memerangi ISIS, malah sehingga hari ini Amerika Syarikat masih lagi menyokong pergerakan YPG. Pada 14 Februari 2021, berpuluh-puluh kenderaan Amerika Syarikat telah membawa bantuan kepada SDF Syria yang dikuasai YPG tiba di Timur Laut Syria.

Selain itu, Amerika Syarikat cuba untuk mengukuhkan pengaruh di rantau tersebut dengan membina pangkalan tentera mereka di sana. Menurut Syria’s Sanaa News Agency, Amerika Syarikat telah mula untuk membina pangkalan kedua di wilayah Al-Malikiyah, Timur Laut Syria.

b. Rusia

Rusia dilihat sebagai sekutu dan kawan karib kepada Syria. Malah Putin memberi sokongan terhadap Basyar Al Assad untuk menandingi cengkaman Amerika Syarikat terhadap Asia Barat. Pengaruh Moscow dilihat berjaya masuk ke Syria sejak sekian lama semenjak era Perang Dingin, sehinggakan Soviet diberikan keizinan untuk membuka pangkalan tenteranya di Tartus pada tahun 1970-an. Pangkalan di Tartus tersebut pada hari ini merupakan satu-satunya pangkalan tentera laut Rusia di Asia Barat. 

Selain itu, Rusia juga telah memperluaskan Pangkalan Udara Hmeimim, Latakia di barat Syria sebagai persediaan untuk membawa masuk pengebom nuklear strategik untuk memperkuatkan pengaruh Rusia di negara itu.

c. Iran

Iran pula sememangnya merupakan rakan karib Basyar Al Assad dan sokongan Iran terhadap Syria tidak dapat dinafikan. Matlamatnya adalah untuk memperkukuh dan mempertahankan kedudukannya kerana Syria merupakan satu-satunya jambatan antara Iran dengan kumpulan Hezbollah di Lubnan yang menentang Israel.

Hubungan erat antara Iran dan Syria dapat dilihat apabila Iran telah mengerahkan Quds Force, sayap Revolusi Islam Guard Corps (IRGC), yang diketuai oleh Jeneral Qassem Soleimani, menggerakkan pejuang daripada kumpulan militan Syiah Iraq, Asaib Ahl al-Haq dan Kata’ib Hizbullah, untuk berperang di Syria pada 2014.

d. Turki

Turki pula dilihat tidak menyebelahi mana-mana pihak. Matlamat utamanya adalah untuk menjaga sempadannya daripada pemberontak Kurdish. Ankara telah mengisytiharkan YPG dan SDF sebagai pengganas setelah 30 tahun mengancam dan menentang negara Turki.

Pada awalnya, Turki menyebelahi Amerika Syarikat dalam penentangan terhadap rejim Syria. Namun, Turki mengambil keputusan untuk membawa haluan sendiri setelah Amerika Syarikat dilihat seperti menikam belakangnya apabila Amerika menyalurkan dana kepada YPG dan SDF untuk menentang ISIS.

Sejak 9 tahun tercetusnya perang saudara di Syria, Turki telah menerima lebih 3.6 juta pelarian dari Syria. Pelarian Syria ada juga yang berlindung di negara-negara Eropah dan Arab. Turki dilihat tidak mampu untuk menampung 3.6 juta pelarian tersebut tanpa sokongan Antarabangsa. Oleh itu, Ankara telah melancarkan operasi ketenteraan untuk mewujudkan satu ‘safe zone’ sepanjang 480 km dan selebar 32 km di utara Syria, yang dinamakan sebagai Operasi Peace Spring. Operasi tersebut bukanlah satu-satunya operasi yang dilancarkan oleh Turki dalam untuk menangani masalah pelarian Syria. Operasi lain seperti Operasi Euphrates Shield, Operasi Olive Branch, Operasi Peace Spring dan Operasi Spring Shield adalah satu inisiatif yang dilakukan untuk mewujudkan ‘safe zone’ di Utara Syria serta menghapuskan ancaman Daesh dan YPG.

Umat Islam perlu bangkit dari tidur yang lena

Hari ini kita lihat bahawa kebencian terhadap Islam itu semakin membarah disebabkan kempen dan propaganda Amerika Syarikat serta musuh Islam untuk menjauhkan manusia daripada Islam. Tragedi serangan 11 September 2001 merancakkan lagi agenda Islamofobia yang dilancarkan oleh Barat kepada masyarakat dunia. Atas nama demokrasi dan kebebasan, kuasa Barat seperti Amerika masuk campur urusan negara-negara Islam untuk membebaskannya daripada pengganas.

Hakikatnya, merekalah sebenarnya yang mencipta pengganas itu sendiri. Satu artikel yang dikeluarkan oleh Global Research yang bertajuk ‘U.S. ‘Military Aid’ to Al Qaeda, ISIS-Daesh’ ditulis oleh Prof Michel Chossudovsky yang membongkarkan mengenai penglibatan negara asing dalam menjana pengganas-pengganas khususnya di Timur Tengah. Antara modus operandinya ialah Amerika Syarikat mendapatkan senjata yang dihasilkan di negara dunia ketiga kemudian menyalurkan kepada pengganas-pengganas seperti Al Qaeda dan ISIS-DAESH untuk menentang kerajaan di Iraq dan Syria. Apa yang mengecewakan adalah pendedahan yang dibuat oleh CNN bahawa Arab Saudi dan UAE terlibat dalam menyalurkan dana dan senjata kepada pengganas-pengganas dalam perang Yaman.

Harapan kami ialah semoga konflik di Syria dapat diselesaikan dengan cara diplomasi, bukan dengan menggunakan kuasa ketenteraan supaya keamanan dapat dikekalkan dan tiada pertumpahan darah yang berlaku. Umat Islam perlu bangkit dari tidur, bina kekuatan dengan kesatuan demi membela nasib umat Islam di seluruh dunia yang sedang menderita. Semoga sedikit penulisan daripada kami mampu memberi kecaknaan kepada masyarakat dan mahasiswa khususnya. 

“Memimpin Kebangkitan Mahasiswa”

22 Mac 2021 | 8 Sya’ban 1442 

AHMAD ZAIMMUL ADLI ABDULLAH
Naib Presiden 2
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2021 – HARAKAHDAILY 22/3/2021