Malaysia bertindak tepat dalam isu Korea Utara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara, Mun Chol Myong adalah bertepatan Artikel 9 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, keputusan tersebut susulan tuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan ke atas Mun setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuannya daripada diekstradisi ke Amerika Syarikat.

Katanya, berikutan keputusan mahkamah itu, Korea Utara mengumumkan bahawa negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia secara total.

Idris menambah, implikasi daripada keputusan mahkamah itu mengakibatkan Korea Utara dijangka mengambil peluang untuk melakukan propaganda memburukkan Malaysia yang dianggap sebagai proksi Amerika Syarikat (AS).

- Advertisement -

“Apa yang mereka lakukan ini menunjukkan mereka tidak menghormati sistem kehakiman yang ada di dalam negara kita selain tidak menghormati Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Negara turut menyifatkan tindakan yang diambil kerajaan adalah suatu keputusan yang bijak.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat jangkaan kemungkinan serangan siber atas laman-laman sesawang berkepentingan Malaysia memandangkan Korea Utara mahir dalam melakukan penggodaman.

Pada 9 Mac lalu, seorang lelaki Korea Utara dikenali sebagai Mun Chol Myong, gagal dalam rayuan terakhirnya di mahkamah Malaysia terhadap perintah ekstradisi ke AS untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

Di mahkamah, lelaki itu menafikan dakwaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bahawa dia mengetuai sebuah kumpulan penjenayah yang melanggar sekatan antarabangsa dengan membekalkan barangan terlarang ke Korea Utara dan mengubah dana haram melalui beberapa syarikat pangkalan hadapan.

Chol Myong yang menetap di negara Asia Tenggara itu selama satu dekad bersama keluarganya, ditangkap pada 2019 susulan permintaan ekstradisi oleh Washington.

Chol Myong, berumur lingkungan 50-an, menghadapi empat pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan konspirasi perbuatan itu.

Pertuduhan berkenaan berkait terutama dengan kerjanya di Singapura. – HARAKAHDAILY 22/3/2021

- Advertisement -