Peranan koperasi tambah pendapatan pekebun kecil

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KUALA KRAI: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memperuntukkan sejumlah RM140,000 sebagai modal pusingan untuk penubuhan koperasi di peringkat Parlimen.

Menterinya, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, peruntukan itu untuk membeli getah daripada pekebun kecil dengan nilai yang lebih tinggi berbanding pasaran.

“Peranan koperasi pekebun getah perlu dipertingkatkan di setiap Parlimen dalam usaha untuk menambah pendapatan pekebun kecil getah di negara ini.

“Bagaimanapun, kita hanya akan memilih Parlimen yang mempunyai kawasan penanaman getah sebagaimana di Kelantan ini contohnya,”ujarnya lagi.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan bantuan kepada 100 orang pekebun kecil getah di Parlimen Kuala Krai di Dewan Haji Abdul Rahman, Pusat Tarbiah Islam Sungai Durian di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Mohd. Fauzi Abdullah dan ADUN Mengkebang, Muhammad Mat Sulaiman.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pimpinan masyarakat di setiap kawasan Parlimen di negara ini menubuhkan koperasi yang dapat membantu pekebun kecil getah.

Setakat ini katanya, sebanyak 20 Parlimen dalam perancangan awal untuk penubuhan koperasi terbabit.

“Antaranya Lumut serta beberapa Parlimen dalam perancangan awal,”ujarnya.

Selain itu, katanya kementerian juga menyumbang sebuah mesin memproses getah krip bernilai RM300,000.

“Mesin itu mampu menghasilkan getah daripada getah skrap yang berkualiti sekali gus dapat meningkatkan pengeluaran bahan itu di negara. – HARAKAHDAILY 21/3/2021

- Advertisement -