Olimpik: Penonton antarabangsa dihalang

Thomas Bach
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penonton antarabangsa disekat daripada masuk ke Jepun untuk menyaksikan Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo yang masing-masing dijadualkan berlangsung pada bulan Julai dan Ogos ini, disebabkan wabak Covid-19 yang masih melanda di seluruh dunia.

Tiket-tiket Sukan Olimpik dan Paralimpik yang dibeli oleh penduduk luar negara daripada Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 akan dikembalikan, menurut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

“Sebagaimana semua peminat Olimpik di seluruh dunia, kami juga kecewa, dan pastinya begitu juga rakan atlet serta kaum keluarga mereka, yang sudah lama merancang untuk menyaksikan temasya sukan berkenaan secara dekat.

- Advertisement -

“Untuk itu, kami amat memohon maaf, kita tahu ini adalah pengorbanan besar bagi semua orang. Kami telah mengatakan sejak awal pandemik lagi, bahawa ia akan memerlukan pengorbanan,” kata Presiden IOC Thomas Bach dalam satu kenyataan.

Terdahulu dalam perjumpaan lima pihak semalam, IOC dan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dimaklumkan oleh pihak Jepun mengenai kesimpulan mereka berhubung sekatan terhadap penonton luar negara pada kedua-dua temasya sukan itu.

Keputusan berkenaan diambil atas alasan keselamatan setiap peserta serta rakyat Jepun; dan IOC serta IPC menghormati keputusan itu.

“Kami juga mengatakan bahawa prinsip pertama adalah keselamatan. Setiap keputusan yang diambil perlu terlebih dahulu menghormati prinsip keselamatan. Saya tahu bahawa negara Jepun dan negara rakan tidak membuat kesimpulan ini dengan sewenang-wenangnya.

“Bersama mereka, keutamaan tertinggi IOC adalah kekal untuk menganjurkan Sukan Olimpik dan Paralimpik yang selamat untuk semua,” tambahnya.

Sukan Olimpik Tokyo ditangguhkan tahun lepas disebabkan oleh pandemik, dan dijadualkan berlangsung pada 23 Julai ini. – BERNAMA

- Advertisement -