Kenapa ada ahli PAS suka dengar fitnah dan sebarkan? (Siri 5)

- Advertisement -

PASTIKAN anda memahami syarat yang telah dinyatakan dalam Siri 1 sebelum menyambung membaca tulisan ini.

Orang kita

Dalam Siri 5 dan selepas ini, berkemungkinan perkara-perkara yang akan disentuh adalah perkara yang mungkin agak sensitif bagi sesetengah pihak dan juga dari sudut perundangan. Saya cuba memberikan naratif terbaik bagi kefahaman semua, dan juga tanpa melanggar peraturan. Oleh itu, diharap semua akan kekal dalam tujuan tulisan ini, iaitu untuk koreksi diri kita sebagai ahli PAS dan bukan untuk perbalahan.

- Advertisement -

Ahli PAS mempunyai sikap yang sangat mulia. Mereka suka meraikan orang dan tidak suka bermusuhan selama-lamanya. Itulah keindahan yang ada dalam hati mereka. Oleh kerana kebaikan hati orang PAS ini, maka muncullah wajah-wajah keinsafan dari parti lawan yang perlahan-lahan mendekati PAS, ketika menang dahulu. Sesetengah mereka menyatakan kekesalan dengan sikap mereka yang sebelum ini, menentang PAS.

Tidak kurang juga ada kakitangan dan kontraktor yang mula mengenakan jubah dan kopiah putih, antara pakaian rasmi PAS. Mereka mula mesra. Beberapa maklumat sebagaimana yang telah saya jelaskan dalam siri lalu, telah bertukar tangan. Demi sebuah perjuangan Islam, orang PAS sangat gembira dengan kemasukan golongan ini. Lalu dibacakan surah an-Nasr, kerana berbondong-bondong golongan menyertai PAS selepas kemenangan. Meriah sungguh rasanya.

Pimpinan PAS sedar akan keadaan ini, tetapi agak sukar mengawal. Mana mungkin tapisan hendak dibuat untuk orang mahu menyertai PAS. Silakan, pintu kami terbuka untuk semua. Manakala kepada ahli bawahan pula, ada antara mereka membuka ruang bagi golongan ini masuk dan naik ke atas, berdasarkan kepakaran masing-masing kerana semua mereka itu sekarang adalah ‘orang kita’. Dalam masa yang sama, peringatan tetap dibuat pimpinan agar tarbiah diperketatkan.

Sebahagian mereka sudah pun masuk jauh ke dalam rumah PAS walau tanpa tarbiah dan mula menyertai mesyuarat dan memberi syor-syor kepada parti. Sehinggakan ada kalangan bekas orang kuat Umno dilantik menjadi Pengerusi JSR. Ada juga ahli PAS yang perlahan-lahan telah berubah kekaguman mereka kepada orang-orang baru ini kerana bakat yang ditunjukkan. Jadi, kritikan-kritikan kepada pimpinan PAS oleh mereka, mula diterima. Maklumlah, mereka juga berpengalaman dalam mentadbir.

Begitulah kepercayaan yang diberikan oleh ahli PAS, kepada ‘orang kita’ itu. Sehinggalah datangnya masa hampir PRU, lantas dibuanglah topeng JSR itu dengan menjemput pimpinan Umno ke majlis mereka. Beberapa orang lain yang dilihat sebagai ‘neutral’ juga telah berjaya memikat hati ahli PAS, disebut-sebut ketika itu, ada dua orang ustaz yang boleh diketengahkan sebagai calon PAS pada PRU selepas itu kerana kecekapan mereka bekerja dan konon kecenderungan mereka kepada PAS.

Namun sekali lagi ahli PAS hampa kerana apabila sampai waktunya, rupanya mereka telah menjadi calon BN dan mengalahkan dua Exco PAS di DUN masing-masing. Dan mereka menjadi ayam sabung Umno, melawan PAS di Sidang DUN kerana mereka juga lulusan agama. Kecewalah penyokong PAS, disangkakan padi rupanya lalang. Mungkin juga ramai masih mengingati gambar dua orang Cina yang kononnya menyokong PAS, minum arak di markas PAS? Berlaku dalam kempen PRU11. Mujur ia sempat diselamatkan.

Berlainan dengan sikap Umno. Satu ketika, seorang rakan saya hendak dijadikan sebagai Ketua Pemuda Cawangan (kalau tidak salah saya) di kawasan yang jauh dari kampungnya. Tetapi dia telah disiasat latar belakang keluarganya sehingga ada wakil Umno pergi ke kampungnya bagi memastikan dia bukan dari kalangan musuh Umno. Begitu sekali ketelitian mereka.

Atau sekiranya orang PAS contohnya diterima masuk dalam Umno, jangan haraplah akan dapat memegang jawatan penting dengan segera, kecuali untuk membaca doa atau menjadi imam, jika dia ustaz. Kena tunggu dahulu sebelum dibuktikan kemasukan mereka itu adalah tulen. Tiada istilah ‘orang kita’ secara senang-senang, bagi orang luar yang baharu masuk Umno.

Inilah yang boleh kita katakan sebagai perisik. Dalam politik, jika pasukan itu tiada perisik, bermakna mereka tidak bersedia untuk berlawan. Perisik yang baik ialah dia tidak dikenali atau disyaki langsung sebagai perisik. Dia adalah yang paling tidak disangka menjadi perisik. Dia ada di mana-mana dan boleh menjadi sesiapa sahaja. Dan dalam PAS, ia tidak terkecuali. Akhirnya yang disangka ‘orang kita’ dan kita bawa masuk itu, kekal menjadi ‘orang dia’. Atau dalam bahasa politik dipanggil ‘Trojan Horse’.

Ada pula ahli PAS yang bersikap amat keras. Terjadi peristiwa di mana ahli PAS yang marahkan pimpinan PAS kerana tetap memberikan jawatan imam masjid kepada orang Umno, walaupun PAS sudah memerintah. Perasaan benci itu, langsung tidak boleh dikurangkan. Sudah dijelaskan, walaupun imam Umno, tetapi mereka kena mengikut arahan kerajaan. Namun tetap mereka tidak menerima penjelasan itu. Akhirnya dek kerana marah dan tidak puas hati, mereka keluar PAS dan masuk Umno. Pelikkan?

Beginilah keadaan yang mesti dihadapi oleh pimpinan PAS ketika itu. Mereka terpaksa menepis serangan luar, membaiki rosak dari dalam yang biasa dibuat oleh ahli sendiri, memandu jamaah ke jalan yang benar, menghadapi masalah keluarga, kewangan juga perlu dicari ketika royalti ditarik dan bermacam-macam lagi yang terpaksa dibuat bagi mempertahankan jamaah dan kerajaan.

Lebih menyukarkan keadaan ialah apabila majlis-majlis usrah mula ditinggalkan ahli. Saya mendengar keluhan pimpinan ketika itu yang berkata, sekarang ramai yang mahu memerintah, entah siapa yang mahu menjaga parti yang tidak banyak gajinya. Ya, hanya segelintir yang bertahan menjaga parti. Ramai yang sibuk ke sana ke mari. Ada penceramah dari Unit Bina Insan menghadapi masalah mahu menyampaikan kuliah di masjid-masjid yang jamaahnya masih tebal sayang mereka kepada Umno.

Bila dibacakan kitab, jamaah mula bersembang sesama mereka. Ada yang duduk di hujung berzikir. Pendek kata kedatangan penceramah bagaikan tidak wujud sama sekali ketika itu. Tekanan psikologi sebegitu, memang menyakitkan bagi penceramah, bagai bercakap dengan tiang dan dinding. Ahli PAS pula, tidak mahu ke masjid untuk membantu penceramah-penceramah ini, kerana tidak sanggup meninggalkan markas atau surau atau masjid PAS yang mereka jadikan tempat bersolat mereka dahulu.

Walaupun sudah diingatkan pimpinan supaya pergi ke masjid dan mengimarahkannya, tetap mereka berkubu di tempat mereka. Ada juga tidak mahu pergi kerana ditekan AJK masjid dari Umno dengan pertanyaan seperti ‘Mu mari masjid ni, bila mu sertu masjid?’ Doh dulu, bukang mu kata tak sah solat di masjid Umno?’ Ahli PAS menjadi semakin defensif walaupun PAS memerintah. Umno berjaya memainkan perasaan ahli PAS. Akhirnya sesetengah kampung, masih gagal dikuasai oleh PAS kerana pemisahan ini.

Bersambung…

MOHD NASIR ABDULLAH
21 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 21/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -