Vaksinasi penentu hala tuju kesihatan awam

Foto P. Marazziscience Source.
- Advertisement -

KITA semua telah menyaksikan satu detik bersejarah apabila kumpulan pertama vaksin Pfizer-
BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 21 Februari 2021.

Ironinya, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mendapat sambutan
memberangsangkan sehingga muncul isu ‘potong barisan’, namun masih terdapat segelintir
pihak yang sangsi dan melontarkan idea picisan seperti ‘vaksin agenda jahat Yahudi’.

Senario terkini dilaporkan sekitar 400,000 penduduk Malaysia yang rata-rata terdiri daripada
kumpulan barisan hadapan telah menerima suntikan dos pertama dan bakal disusuli dengan dos kedua selepas tiga minggu.

Laporan terkini merekodkan hampir 6 juta orang sudah pun mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

- Advertisement -

Namun realitinya, kedudukan Malaysia masih terkebelakang jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.

Faktor kejayaan PICK berkait rapat dengan jumlah penerima vaksin. Teori imuniti kelompok
menerangkan bahawa semakin ramai penduduk divaksinkan dan badan penerima membentuk
antibodi, semakin sukar penularan virus Covid-19 berlaku dalam kalangan masyarakat.

Usaha kerajaan ini menjadi haluan penentu kesihatan awam negara khususnya.

Walaupun terdapat pihak tertentu yang mempersoalkan keberkesanan imuniti kelompok, sejarah telah membuktikan bahawa program imuninasi telah berjaya membendung pelbagai penyakit berjangkit yang memudaratkan penduduk dunia.

Misalnya penyakit cacar air atau dikenali sebagai smallpox berjaya dihapuskan di seluruh dunia pada 1980.

Ianya hasil daripada keberkesanan program imunisasi yang dijalankan sehingga sebahagian besar penduduk yang lahir selepas era tersebut tidak lagi mengenali penyakit cacar air.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara)
menjalankan ujian rapi dalam memastikan semua vaksin yang diterima adalah selamat, stabil dan berkesan untuk digunakan oleh masyarakat.

Laporan berkenaan kesan sampingan vaksin juga turut dipantau ketat oleh KKM dan NPRA serta sentiasa berhubung dengan syarikat pengeluar vaksin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan badan-badan kawal selia yang lain.

Oleh itu, keraguan pada status keselamatan dan keberkesanan vaksin Covid-19 harus disisihkan.

Justeru, penulis menyeru kepada semua lapisan masyarakat untuk sama-sama mendaftarkan diri sebagai penerima suntikan vaksin Covid-19 yang diberi secara percuma oleh kerajaan
Malaysia.

Semoga dengan usaha dan keterlibatan daripada semua pihak, sasaran negara untuk mencapai imuniti kelompok dalam masa lebih singkat akan berjaya, tuntasnya mengekang penularan Covid-19.

Jika kita tidak bersetuju dengan vaksinasi, bersederhanalah. Usahlah kerana ulah kita, ia menjadi asbab kegagalan usaha murni ini.

Sebagaimana kata keramat kesihatan awam, Mencegah lebih baik daripada merawat. Dalam konteks pandemik Covid-19, vaksinasi adalah solusinya. – HARAKAHDAILY 20/3/2021

>>> artikel ini disediakan DR MD MUZIMAN SYAH MD MUSTAFA, Pensyarah Kanan Kulliyah Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan DR. NOORHAZAYTI AB. HALIM, Pakar Kesihatan Awam Pergigian Kulliyah Pergigian, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

- Advertisement -