Covid-19: Kes aktif bawah 15,000, sembuh lebih 95 peratus

- Advertisement -

BERIKUT adalah rangkuman terkini mingguan mengenai Covid-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 13 Mac hingga pukul 8:30 malam 19 Mac 2021.

Kes kumulatif Covid-19 di Malaysia melebihi 330,000. Di peringkat global, lebih 122 juta kes dilaporkan dengan lebih 2.7 juta kematian. Lebih 98 juta pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh. Pandemik Covid-19 sudah merebak ke 216 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR: “Melegakan”. Masyarakat di negara ini sudah tentunya boleh menaruh harapan tinggi penularan koronavirus maut Covid-19 akan dapat dibendung segera apabila kes harian baharu kekal di bawah dua ribu untuk tempoh dua minggu berturut-turut.

Sehingga pukul 12 tengah hari Jumaat 19 Mac 2021, jumlah kes harian baharu yang dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah sebanyak 1,576 kes.

Pada Selasa 16 Mac, negara mencatat jumlah kes harian baharu terendah iaitu 1,063 kes. Sebelum itu, jumlah terendah dilaporkan ialah pada Selasa 9 Mac, sebanyak 1,280 kes.

- Advertisement -

Untuk rekod, kes harian baharu sepanjang rangkuman mingguan Bernama 13 Mac hingga 19 Mac 2021:- 1,470 kes (13 Mac), 1,354 kes (14 Mac ), 1,208 kes (15 Mac), 1,063 kes (16 Mac), 1,219 kes (17 Mac), 1,213 kes (18 Mac) dan 1,576 kes (19 Mac).

Kes harian baharu sepanjang rangkuman mingguan Bernama 6 Mac hingga 12 Mac 2021:- 1,680 kes (6 Mac), 1,683 kes (7 Mac ), 1,529 kes (8 Mac), 1,280 kes (9 Mac), 1,448 kes (10 Mac), 1647 kes (11 Mac) dan 1,575 (12 Mac).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan dalam kenyataan akhbar mengenai situasi semasa jangkitan penyakit Covid-19 di Malaysia pada Jumaat 19 Mac, daripada 1,576 kes baharu, sebanyak 1,565 kes adalah penularan tempatan (842 orang warganegara dan 723 orang bukan warganegara).

KKM turut melaporkan sebanyak 11 kes import, melibatkan lapan (8) orang warganegara dan tiga (3) bukan warganegara.

Sehingga Jumaat 19 Mac, jumlah kes kumulatif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 330,042 kes, sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan kini di bawah 15,000 iaitu 14,360 kes.

Angka ini sudah tentunya jauh berbeza dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan negara paling tinggi pernah direkodkan iaitu 52,186 pada 10 Februari 2021 dengan catatan kes baharu 3,288 dan 14 kematian.

Jumlah kes kumulatif Covid-19 di Malaysia melepasi angka 300 ribu pada Ahad 28 Feb (300,752 kes).

Dengan 330,042 kes, Malaysia kekal di tangga 45 dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia adalah Slovakia (346,149 kes), Panama (349,505 kes) dan Arab Saudi (383,880 kes).

Jumlah kes sembuh setakat 19 Mac 2021 ialah 1,996 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes pesakit yang pulih daripada Covid-19 kini 314,457 kes (95.3 peratus).

Rekod kes sembuh harian sepanjang rangkuman mingguan 13 Mac hingga 19 Mac 2021:-

1,830 kes (13 Mac ), 1,782 kes (14 Mac ), 1,973 kes (15 Mac ), 1,365 kes (16 Mac ), 1,346 kes (17 Mac), 1,503 kes (18 Mac) dan 1,996 (19 Mac).

Untuk rekod juga, tarikh 18 Mac (semalam), genap setahun Kerajaan Malaysia mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020. Pada tarikh tersebut, negara mencatat sebanyak 117 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 790 kes.

Kes pertama 2019-nCoV (kemudiannya dinamakan Covid-19 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia ) di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari 2020.

Perkembangan lain dalam negeri

Sehingga 19 Mac 2021, sebanyak 11 daerah di Semenanjung kembali kepada zon hijau iaitu Kubang Pasu, Padang Terap, dan Yan di Kedah; Kampar dan Hulu Perak di Perak; Jelebu dan Jempol di Negeri Sembilan, Gua Musang di Kelantan, Hulu Terengganu di Terengganu; Raub dan Cameron Highlands di Pahang.

Mengenai perkembangan mutakhir Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Laporan Harian Pemberian Dos 1 Vaksin Mengikut Negeri) sehingga 18 Mac 2021 adalah seperti berikut:-

Perlis 9,519; Kedah 25,958; Pulau Pinang 23,485; Perak 45,138; Selangor 49,521; Kuala Lumpur 34,778; Putrajaya 4,601; Negeri Sembilan 17,006; Melaka 10,543; Kelantan 18,617; Terengganu 15,726; Pahang 27,480; Johor 28,489; Sabah 38,369; Labuan 2,342 ; Sarawak 32,762.

Jumlah keseluruhan divaksin ialah 385,126.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam catatan di Facebook peribadinya pada 18 Mac 2021 mengumumkan, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 18 Mac 2021 untuk seluruh negara adalah 0.87. Negeri mencatat Ro tertinggi ialah Terengganu 1.11 dan dan paling rendah, Perak 0.63.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pada 16 Mac lepas, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 19 Mac hingga 31 Mac 2021.

Negeri Sarawak juga diletakkan di bawah PKPB berkuatkuasa 16 Mac hingga 29 Mac 2021.

Sementara Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Perlis, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Melaka diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 19 Mac hingga 31 Mac 2021.

Pergerakan rentas daerah dalam negeri (kecuali Sabah dan Sarawak) dibenarkan, bagaimanapun, pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Malaysia masih berada di bawah Pengisytiharan Darurat bermula 12 Januari sehingga bulan Ogos 2021.

Kluster tempat kerja, kluster pusat tahanan

Sehingga Jumaat 19 Mac 2021, terdapat 1,288 kluster di Malaysia dan daripada jumlah itu, sebanyak 861 kluster sudah ditamatkan. Sebanyak 427 kluster masih aktif dan 64 kluster daripadanya menambah kes baharu.

Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Depoh Imigresen Semuja (146 kes), Kluster Jalan Pelabuhan (94 kes) dan Kluster DTI Juru (89 kes).

Kluster Depoh Imigresen Semuja diumumkan pada 18 Mac, melibatkan daerah Serian di Sarawak dan sehingga semalam mengesan 99 kes positif Covid-19.

Pada 17 Mac, KKM melaporkan satu kluster pusat tahanan iaitu Kluster Tembok Muhasabah melibatkan daerah Jelebu di Negeri Sembilan. Daripada 225 individu yang disaring, 49 kes dikesan positif Covid-19.

Terdapat satu kluster import dilaporkan pada 17 Mac iaitu Kluster Andromeda, melibatkan daerah Muar di Johor. KLuster dikesan hasil saringan individu bergejala melibatkan anak kapal sebuah kapal korek dari Singapura. Sebanyak enam (6) kes dikesan positif Covid-19 daripada 44 individu yang disaring.

Sementara itu, Kluster Subang Dua (KTK) yang dilaporkan pada 17 Mac merekod 153 kes positif setakat tarikh berkenaan. Kluster ini melibatkan daerah Petaling di Selangor, hasil saringan bersasar pekerja sebuah kilang di Jalan Subang Dua, Taman Perindustrian Subang, Petaling.

Untuk rekod, jumlah kluster baharu dan Kluster Tempat Kerja (KTK) sepanjang 13 Mac hingga 19 Mac 202:-

Sabtu 13 Mac – 2 ( 2 KTK) ; Ahad 14 Mac – 3 ( 2 KTK); Isnin 15 Mac – 13 ( 12 KTK); Selasa 16 Mac – 5 ( 2 KTK ); Rabu 17 Mac – 12 ( 8 KTK), Khamis 18 Mac – 9 ( 5 KTK) dan Jumaat 19 Mac – 12 (10 KTK).

Perincian kes Covid-19 di Malaysia

Perincian 1,576 kes harian baharu yang diumumkan KKM hari ini (19 Mac 2021) menunjukkan Sarawak mencatat kes Covid-19 tertinggi dengan 407 kes dan daripada jumlah itu, 221 kes adalah daripada kluster sedia ada, 161 kes daripada saringan kontak dapat kes positif Covid-19; dan 25 kes daripada saringan lain Covid-19.

Selangor melaporkan 348 kes dan tiga kluster baharu (kluster tempat kerja) dan satu (1) kes import; Pulau Pinang 182 kes dan satu kluster baharu (Kluster DTI Juru). Kluster pusat tahanan ini melibatkan daerah Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang, hasil saringan bersasar tahanan di Depot Tahanan Imigresen Juru. Sehingga 19 Mac, 167 kes dikesan positif.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 175 kes dan melaporkan empat (4) kluster baharu termasuk kluster pusat tahanan (Kluster DTI Jalan Duta) dan setakat 19 Mac, sebanyak 18 kes dikesan positif; Johor 137 kes dan empat (4) kluster baharu dan kesemuanya kluster tempat kerja. Salah satu kluster berkenaan, Kluster Jalan Industri Sofa melibatkan kilang perabot di Tangkak merekod 55 kes positif Covid-19, sehingga 19 Mac.

Perak 100 kes; Melaka 54 kes; Kelantan 52 kes; Negeri Sembilan 41 kes; Sabah 33 kes; Kedah 25 kes; Pahang 13 kes; Terengganu enam (6) kes; Wilayah Persekutuan Labuan dua (2) kes dan Wilayah Persekutuan Putrajaya satu (1) kes.

Sementara itu, hanya dua (2) kes kematian dilaporkan pada Jumaat 19 Mac, menjadikan jumlah kes kumulatif sebanyak 1,225 kes (0.37 peratus). Kedua-dua kes melibatkan warganegara, kedua-duanya lelaki, masing-masing berumur 71 tahun dan 55 tahun.

Untuk rekod, kes kematian sepanjang tempoh rangkuman 13 Mac hingga 19 Mac 2021:-

3 kes (13 Mac ), 4 kes (14 Mac), 3 kes (15 Mac), 5 kes (16 Mac), 2 kes (17 Mac), 3 kes (18 Mac) dan 2 kes (19 Mac),

Sebanyak 151 kes di tempatkan di Unit Rawatan Rapi dan 57 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Statistik global Covid-19

Jumlah kes Covid-19 global terkini (worldometer) sebanyak 122,481,445 (rangkuman mingguan lepas 119,205,673 kes) dengan 2,705,288 kematian (minggu lepas 2,643,610 kematian). Jumlah pesakit sembuh 98,737,057 (minggu lepas 94,797,065 orang).

Sebanyak 216 negara dilanda pandemik Covid-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, Brazil, India, Rusia, United Kingdom, Perancis, Itali, Sepanyol, Turki dan Jerman.

Pecahan kes Covid-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 30,358,880 kes (552,470 kematian), Brazil 11,787,600 kes (287,795 kematian), India 11,514,331 kes (159,405 kematian), Rusia 4,437,938 kes (94,267 kematian), United Kingdom 4,280,882 kes (125,926 kematian), Perancis 4,181,607 kes (91,679 kematian), Itali 3,306,711 kes (103,855 kematian), Sepanyol 3,212,332 kes (72,910 kematian), Turki 2,950,603 kes (29,777 kematian) dan Jerman 2,628,629 kes (74,878 kematian).

Negara China, di mana bermulanya wabak Covid-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat 87 dengan 90,083 kes. Angka kematian kekal 4,636.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia, Filipina dan Myanmar turut menyertai senarai 83 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes Covid-19.

Indonesia di tangga 18 dengan 1,450,132 dengan 39,339 kes kematian; Filipina di tangga 30 dengan 648,066 kes dan 12,900 kematian.

Myanmar di tangga 78 dengan 142,212 kes dan 3,204 kematian; Singapura di tangga 100 dengan 60,167 kes dan 30 kematian.

Sementara Thailand di tangga 115 dengan 27,594 kes dan 90 kematian; Vietnam melaporkan 2,570 kes di tangga 175 dan angka kematian kekal 35; Kampuchea di tangga 185 dengan 1,578 kes dan melaporkan dua (2) kematian.

Brunei di tangga 200 dengan 203 kes dan tiga (3) kematian, sementara Laos melaporkan 49 kes di tangga 207 dan masih sifar kematian.

Ruangan sisi

Latar belakang Covid-19

— Penularan wabak Covid-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

— Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.

— Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

— WHO memberi nama rasmi virus “2019-nCoV” iaitu Covid-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

— Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

— Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit Covid-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

— Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit Covid-19 sebagai pandemik.

— WHO menyifatkan wabak penyakit Covid-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

— Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

— Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik Covid-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.

— Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

— Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai Covid-19.

— Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

— Di UK, varian baru Covid-19 yang dikenali sebagai B117 dilaporkan 70 peratus lebih mudah merebak. Mula dikesan pada September 2020.

— Afrika Selatan juga mengenalpasti varian baharu novel coronavirus, dirujuk sebagai “501Y.V2”. pada awal Oktober 2020. – BERNAMA