Tanduk syaitan Baphomet depan Kaabah?

- Advertisement -

KITA sebagai umat Islam jangan terlalu terpengaruh dengan cerita rekaan ataupun cerita khayalan yang dibawa oleh orang yang bukan ahli di bidangnya. Kita kena ada asas kita sebagai seorang Muslim. Setiap peristiwa yang akan berlaku di masa depan atau kejadian hari akhir zaman perlulah rujuk kepada al-Quran, Hadis dan para alim ulamak. 

Saya dapat mesej dari kawan yang bermati-matian mendakwa bahawa dunia sudah hampir kiamat. Tandanya, wujud tanduk syaitan di depan Kaabah seperti dalam gambar yang dikepilkan ini. Beliau percaya kerana rakan media sosial beliau turut mengulas Hadis Nabi S.A.W berkaitan dengan umat Islam yang sembahyang di antara dua tanduk syaitan. Ulasnya lagi, itulah tandanya berlaku akhir zaman di mana tuhan yang dipuja oleh orang kafir yang diberi nama Baphomet atau Diablo atau Lucifer The Satan dan sebagainya itu telah menguasai Kaabah. Manusia yang sedang solat dan tawaf hadapan Kaabah itulah yang digambarkan oleh Hadis Nabi S.A.W. Yakin betul beliau! Siap post dekat facebook lagi.

- Advertisement -

Saya pun kurang arif bab ini kerana bukan bidang saya. Saya nasihati dia, berkaitan dengan tafsir sesuatu Hadis yang mengatakan bahawa manusia solat antara dua tanduk syaitan itu perlu kita rujuk kepada ahli agama bukannya kita sendiri menafsirkannya.

Tafsiran yang berbentuk abstrak oleh al-Quran dan Hadis itu telah pun diperjelaskan oleh para alim ulamak yang Muktabar. Keyakinan kita tidak berganjak bahawa kiamat pasti akan berlaku, kemunculan Dajal akan berlaku, kelahiran Imam Mahdi dan turunnya Nabi Isa A.S juga jelas disebut di dalam al-Quran dan Hadis. Tiada keraguan dari sudut itu. Bila berlaku? Kita tidak mengetahui secara tepat. Tanda-tanda akhir zaman sudah wujud. Ya, semuanya telah diulas oleh para alim ulamak. Tidak boleh membuat andaian sendiri.

Saya ambil peluang bertanyakan kepada beberapa orang ustaz antaranya al-Fadhil Ustaz Ahmad Tarmizi Taha, Prof. Dr. Basri Ibrahim, Prof Irwan Subri dari USIM, Ustaz Abdullah Bukhari dan beberapa orang lagi. 

Apakah tafsir sebenar Hadis ini? Adakah matahari terbit pada dua tanduk syaitan? Lihat hadis dari Anas bin Malik R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

لاَ تُصَلُّوْا عِنْدَ طُلُوْعِ الشَّمْسِ وَلاَ عِنْدَ غُرُوْبِهَا ؛ فَإِنَّهَا تَطْلُعُ وَتَغْرُبُ عَلَى قَرْنِ شَيْطَانٍ وَصَلُّوْا بَيْنَ ذَلِكَ مَا شِئْتُمْ

“Janganlah solat ketika matahari terbit dan janganlah solat ketika matahari tenggelam kerana ketika itu matahari terbit dan tenggelam di atas tanduk syaitan. Solatlah di antara itu semahu kamu.”

(Hadis Riwayat Abu Ya’la dalam musnadnya, 2/200 dan Al-Bazzar, 1/293/613. Syaikh Al-Albani dalam Silsilah Al-Ahadits Ash-Shahihah, no. 314 mengatakan bahawa sanad Hadis ini Hasan)

Terdapat beberapa matan Hadis lain lagi yang menerangkan maksud sama seperti dalam Sahih Bukhari, Kitab Permulaan Penciptaan Makhluk, 3032. Terdapat khilaf ulamak dalam membahaskan mengenai dua tanduk syaitan itu. Menurut Imam Nawawi R.A, syaitan menghadap ke arah matahari ketika matahari keluar kerana menyembah matahari. Inilah pendapat yang paling kuat.

Persoalannya boleh ke tanduk syaitan itu wujud di depan Kaabah sebegitu? Sepakat para ustaz yang ditanya mengatakan, tidak. Dakwaan dan tafsiran disandarkan kepada Hadis itu adalah tidak betul sama sekali.

Jika mereka terus membuat dakwaan, maka mereka perlu membawa Dalil Naqli untuk mengesahkan dakwaannya. Tanpa dalil dakwaannya mesti ditolak. Secara akalnya kita pun boleh tengok sendiri bahawa bayangan itu adalah dari menara jam bersebelahan dengan Masjidil Haram. Tiada sesuatu yang pelik pun.

Kenapa kita sanggup mengandaikan sesuatu yang begitu menjelikkan seolah-olah kita menuduh sesiapa yang sedang bertawaf dan bersolat itu telah memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh Hadis Nabi S.A.W. Begitu dangkal hujah yang dikemukakan sedemikian rupa. Tetapi ramai juga netizen yang percaya dan share posting seperti ini tanpa apa motif yang menguntungkan diri umat Islam. Wallahua’lam

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 19/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -