‘Kita hendak ubah persepsi masyarakat terhadap PTPTN’

Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan melancarkan pelan strategik dalam masa terdekat sebagai kesiapsiagaan mengharungi masa hadapan.

Tanpa mendedahkan bila akan dilancarkan, Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata pelan strategik itu akan merangkumi dua perkara utama iaitu penjenamaan semula imej dan digitalisasi PTPTN.

“Pertama sekali kita hendak buat sedikit penjenamaan semula, kita hendak ubah persepsi masyarakat terhadap PTPTN. Kita hendak ubah daripada dilihat sebagai sebuah badan pemberi hutang kepada sebuah badan yang fungsi utamanya ialah tabung.

- Advertisement -

“Bila sebut PTPTN, mereka (masyarakat) ingat pinjaman, jadi kita hendak ubah yang kita adalah tabung pendidikan yang ada produk pinjaman kepada mereka yang perlu,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Peranan dan Cabaran PTPTN’ di sini malam tadi.

Beliau berkata fokus kedua pelan strategik itu adalah mendigitalisasi proses-proses PTPTN, selari dengan peredaran masa yang tertumpu kepada era teknologi maklumat.

Beliau berkata beberapa langkah yang bakal diambil PTPTN itu akan diumumkan dalam pelancaran pelan startegik tersebut.

Selain itu, beliau menjelaskan PTPTN telah meluluskan permohonan pinjaman kepada 150,567 pelajar pada tahun lepas dengan jumlah pinjaman sebanyak RM3.59 bilion.

Beliau juga berjanji akan meneruskan komitmen membuat pengeluaran pinjaman kepada peminjam sedia ada yang meneruskan pengajian.

Wan Saiful berkata PTPTN akan meneruskan pemberian insentif Geran Sepadan sehingga RM10,000 kepada golongan B40 yang menabung dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Mengulas mengenai pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun melalui SSPN, beliau berkata ia adalah antara produk simpanan yang memberikan pelepasan taksiran cukai kepada pendeposit yang membuat simpanan untuk anak-anak.

Pelepasan taksiran cukai ke atas simpanan dalam SSPN juga telah dilanjutkan sehingga 2022, katanya. – BERNAMA

- Advertisement -